Kerajaan sedia 12 juta picagari untuk vaksin Pfizer-BioNTech

Dr Adham (tengah) ketika melawat kilang pemprosesan ayam di Serkam pada Sabtu.
Dr Adham (tengah) ketika melawat kilang pemprosesan ayam di Serkam pada Sabtu.
A
A
A

MELAKA - Kerajaan akan menyediakan 12 juta picagari khas 'Low Dead Volume' (LDV) untuk kegunaan suntikan dos vaksin Pfizer-BioNTech yang dijadual mula digunakan barisan hadapan secara berperingkat bermula 26 Februari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, menerusi fasa pertama seramai enam juta orang yang akan divaksin dan ia akan melalui dua kali proses suntikan dos dengan menggunakan picagari berlainan.

Menurutnya, pada fasa awal itu, terdapat 20 daripada 70 peratus populasi rakyat negara ini yang akan disuntik bagi fasa pertama dan proses ini memerlukan dua kali ganda bekalan picagari dengan nisbah dua picagari bagi setiap individu.

"Setiap seorang akan mendapat dua dos, jadi keperluan picagari ini penting dan kita telah mendapatkan satu kata putus untuk mendapatkan bekalan picagari ini agar perjalanan suntikan vaksin berjalan lancar.

"Kita (kerajaan) perlu membeli lebih picagari untuk kegunaan pada fasa kedua ketiga dan seterusnya," katanya.

Adham berkata demikian ketika sidang akhbar selepas mengadakan lawatan di kilang pemprosesan ayam di Serkam di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Exco Kesihatan dan Anti Dadah, Datuk Rahmad Mariman dan Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr ismail Ali.

Terdahulu, Adham berkata, Malaysia akan menerima vaksin Pfizer-BioNTech seminggu lebih awal sebelum bermulanya Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan fasa pertama pada 26 Februari ini.

Artikel Berkaitan:

Vaksin itu perlu diterima lebih awal bagi membolehkan suntikan awal diberikan kepada individu yang akan bertugas terdiri daripada barisan hadapan.

Mengulas lanjut mengenai vaksin, beliau berkata, vaksin yang akan diterima itu akan ditempatkan di lokasi penyimpanan yang selamat dan sempurna selain memastikan kawasan terbabit dilengkapi dengan ruangan penyimpanan penyejuk beku suhu rendah (ULTF).

Katanya, menerusi kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan memastikan tiada gangguan bekalan elektrik berlaku sebaik vaksin tiba di negara ini kerana ia merencatkan kualiti vaksin sekiranya bekalan tenaga itu terganggu.

"Malah sebenarnya vaksin ini juga mendapat permintaan daripada individu yang bukan barisan hadapan dan kita akan mempertimbangkan mengikut keperluan mereka," katanya.