Menjadi bangsa bermoral

A
A
A

SEBETULNYA, terdapat banyak sudut pandangan berkaitan dengan moral.

Merujuk kepada istilah moral, ia berkaitan pegangan atau ajaran terhadap sesuatu perbuatan yang betul atau salah dan adil atau tidak.

Ia bermakna, individu yang bermoral adalah berakhlak baik dan tahu sempadan yang buruk bagi sesuatu perkara.

Pun begitu, perspektif bermoral adalah berbeza bagi sesuatu tempat, agama dan budaya.

Namun, perselisihan tersebut hanya berkaitan dengan moral individu dan kelompok tertentu serta tidak melibatkan moral sejagat.

Berkaitan moral sejagat, segala tindakan yang memudaratkan orang ramai dan negara secara keseluruhan adalah tidak boleh diterima.

Sebagai contoh, bagi mereka yang menceroboh alam sekitar dan tidak menjaga kebersihan dianggap perbuatan yang tidak bermoral kerana mengancam ekosistem serta kesejahteraan negara dalam jangka masa panjang.

Begitu juga dengan penipuan, menerima dan memberi rasuah serta tidak amanah dianggap tidak bermoral kerana merosakkan legasi peradaban sesebuah negara.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, mereka yang bekerja dari rumah sambil lewa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga dikira tidak bermoral kerana tidak setimpal dengan upah yang diterima.

Begitu juga dengan individu yang menjadi tukang sebar fitnah dan berita palsu adalah termasuk dalam kelompok tidak bermoral kerana menyusahkan banyak pihak.

Hakikatnya, selagi bernama manusia, selagi itulah krisis moral tidak akan selesai.

Menurut Abu Sa’id al-Kudri RA, Rasulullah SAW telah bersabda: “Dua perkara yang tidak boleh ada pada orang mukmin iaitu bakhil dan akhlak yang buruk.” (Hadis Riwayat Tirmizi).

Sejujurnya krisis moral telah berlaku sejak begitu lama dalam masyarakat.

Merujuk kepada Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu (1999), pada Abad ke 17, sudah terdapat kisah-kisah nabi yang ditulis secara salah oleh ahli-ahli agama untuk disampaikan kepada masyarakat Melayu, contohnya Hikayat Nabi Bercukur.

Cerita itu begitu popular dalam kalangan masyarakat kerana terkandung dalam kitab tersebut pesanan yang menyatakan barang siapa yang membaca atau mendengar cerita berkenaan akan dihapuskan dosanya oleh ALLAH SWT.

Malah, barang siapa yang menyimpan kitab tersebut akan terlepas daripada segala bahaya di dunia dan akhirat.

Walaupun tujuan mereka adalah baik untuk mendekatkan masyarakat Melayu kepada agama, namun memfitnah agama adalah sikap yang sangat tidak bermoral kerana melibatkan akidah dan pemahaman agama yang salah dalam kalangan masyarakat.

Adalah jelas, sehingga kini masih ramai dalam kalangan ‘ahli agama’ yang sangat tidak bermoral kerana ‘menunggang’ agama demi kepentingan diri sendiri. Jika begitu keadaannya, sampai bila-bila pun kita tidak akan menjadi bangsa yang bermoral.

Apa tidaknya, semua lapisan dan kelompok masyarakat sudah tidak terkecuali terlibat dengan pelbagai gejala yang tidak bermoral.

Justeru, apa tindakan kita? Pada hemat saya, cukuplah kita menjadi rakyat yang penakut untuk bersuara.

Jika tidak berani melawan secara terang-terangan, kita perlu berani melaporkan kepada sesiapa yang berkenaan atas segala perbuatan yang tidak bermoral.

Bagi pemimpin yang tidak bermoral, lepaskan sokongan terhadap mereka. Cukuplah selama ini mereka ‘menjerut’ rakyat dengan ‘budinya’.

Menurut Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda: “Tiga perkara yang membinasakan; orang yang kedekut ditaati, hawa nafsu yang diikuti dan seseorang itu berasa kagum pada dirinya.” (Hadis Riwayat Baihaqi).

Selain bertindak, kita perlu sentiasa berdoa agar mereka yang tidak bermoral mendapat petunjuk selaras dengan firman ALLAH SWT, “Bagi orang-orang yang mendapat petunjuk, ALLAH akan menambahkan petunjuk kepada mereka dan menganugerahkan ketakwaan kepada mereka.” (Surah Muhammad, 47:17).

Namun, selain mengintai moral orang lain, renunglah juga moral diri sendiri. Bermoralkah kita selama ini?

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS), Universiti Malaysia Perlis