Ajaran Si Hulk difatwakan sesat

Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak memutuskan ajaran dan fahaman yang dibawa Suhaini Mohammad atau Si Hulk sebagai sesat. Gambar kecil: Wan Zahidi
Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak memutuskan ajaran dan fahaman yang dibawa Suhaini Mohammad atau Si Hulk sebagai sesat. Gambar kecil: Wan Zahidi
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak memutuskan ajaran dan fahaman yang dibawa Suhaini Mohammad atau Si Hulk sebagai sesat.

Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh berkata, keputusan dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri kali ke-221 pada Disember 2020 itu juga memperakukan fahaman itu menyeleweng daripada ajaran Islam.

Menurutnya, ketetapan itu berdasarkan beberapa ciri fahaman yang secara jelas mendakwa Nabi Muhammad SAW adalah tuhan selain menyatakan baginda tidak mempunyai jantina iaitu bukan lelaki juga bukan wanita.

"Dia juga menyeleweng tafsiran al-Quran menerusi huraian surah Taha ayat 120 dan al-Baqarah ayat 35 berkenaan larangan ALLAH SWT kepada Nabi Adam dan Hawa daripada memakan buah khuldi dengan dakwaan bahawa buah itu yang menjadi larangan untuk dimakan di dalam syurga itu adalah buah zakar dan buah dada," katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook.

Jelas Wan Zahidi, ajaran itu turut mengeksploitasi elemen agama secara berlebihan terhadap produk-produk dikeluarkan seperti air dan botol Si Hulk di laman Facebook Sohai Ibnu Muhammad dan Facebook Si Hulk untuk menarik minat orang membelinya.

"Antaranya membuat tafsiran yang salah terhadap ayat al-Quran pada surah al-Baqarah ayat 248 dengan menyatakan Si Hulk merupakan air hayat iaitu air yang diperolehi oleh Nabi Khidir AS menjadikan baginda mampu hidup sehingga hari kiamat.

"Produk itu didakwa mampu menyembuhkan pelbagai wabak penyakit zahir dan batin serta menghalang daripada sihir selain digunakan untuk melaksanakan ritual menangkap jin ke dalam botol," katanya.

Justeru beliau menggesa agar fahaman dan ajaran itu segera disekat daripada disebarkan kepada umat Islam.

Ujarnya, mana-mana orang Islam adalah dilarang untuk berpegang, beramal atau terlibat dengan fahaman dan ajaran terbabit.

"Mereka yang mengamalkan fahaman dan ajaran ini hendaklah segera bertaubat serta memohon keampunan daripada ALLAH SWT," katanya.

Media sebelum ini melaporkan dua video tular memaparkan beberapa orang individu mengeluarkan kenyataan dan ungkapan menyeleweng daripada ajaran Islam dipercayai pengikut ajaran yang dibawa oleh Si Hulk.

Satu video yang kembali menjadi tular tersebut dimuat naik melalui akaun Facebook Nurul Sakinah yang bertajuk 'Nabi Muhammad itu adalah ALLAH'.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sudah diarah bekerjasama dengan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk membanteras ajaran sesat itu.

ARTIKEL BERKAITAN:Pengikut ajaran Si Hulk bersembunyi di luar negara

JAINJ, PDRM buru pengikut ajaran sesat Si Hulk

Enam individu hina Islam, Rasulullah SAW dikenal pasti

Ahli kumpulan ajaran Suhaini Mohammad ditahan di Jasin

Remaja antara saki-baki kumpulan ajaran sesat 'Si Hulk'