Ajaran AMMA menyeleweng, pengikut perlu bertaubat - Mufti

Wan Zahidi
Wan Zahidi
A
A
A

IPOH - Ajaran Noor Hisham Bin Alias yang membawa Allah Muhammad Muhammad Allah (AMMA) di Manjung adalah menyeleweng dan bercanggah dengan syarak.

Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh berkata, perakuan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri kali ke-231 yang bersidang pada 12 April lepas.

Menurutnya, setelah meneliti semua fakta, hujah dan pandangan dikemukakan, Jawatankuasa Fatwa mendapati bahawa ajaran itu mengandungi elemen yang bercanggah berdasarkan pegangan Ahli Sunah Wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak.

"Ajaran tersebut menterjemah kalimah syahadah dengan 'Tiada Nyata Hanya Allah' tanpa penjelasan sebenar dan mendakwa ajaran Islam sebenar telah diseleweng pada tahun 850 Masihi.

"Elemen lain mengikut ajaran itu adalah berpandangan ayat-ayat al-Quran mungkin tersalah ketika menulis kerana ditulis pada kulit-kulit dan tulang binatang," katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook pada Selasa.

Beliau menjelaskan, ajaran sama berhujah bahawa sekiranya al-Quran yang ada sekarang sangat penting, sudah tentu ia ditulis dan dibukukan oleh Nabi.

Katanya, turut mendakwa terdapat dua al-Quran iaitu al-Quran hidup yang ditafsir sebagai alam mini yang berada dalam diri manusia dan al-Quran mashaf.

"Ajaran ini menyatakan bahawa Nabi tidak dilantik menjadi Rasul, walhal Baginda telah tahu kewujudan ALLAH ketika dibersihkan hatinya di zaman kanak-kanak kerana Baginda hanya tahu dan belum mengenal ALLAH.

Artikel Berkaitan:

"Juga menimbulkan persoalan adakah Nabi lembab kerana tidak mampu membaca dan menulis pada usia 40 tahun," katanya.

Justeru Wan Zahidi menegaskan, mana-mana orang yang telah terlibat dengan pegangan atau mengamalkan ajaran tersebut hendaklah bertaubat.

Jelas beliau, semua bentuk pengajaran, pengamalan, penerbitan, promosi, pengedaran bahan-bahan ajaran itu melalui apa-apa medium hendaklah disekat, dihenti dan diharamkan serta-merta.

"Orang Islam hendaklah menjauhi ajaran ini dan dilarang berpegang serta beramal dengannya," katanya.