JAS kesan 52 pelanggaran syarat EIA di sembilan tapak kuari

Pemeriksaan oleh JAS di kawasan tapak kuari sempena Operasi Gempur Kuari di kawasan daerah Manjung selama dua hari bermula Selasa.
Pemeriksaan oleh JAS di kawasan tapak kuari sempena Operasi Gempur Kuari di kawasan daerah Manjung selama dua hari bermula Selasa.
A
A
A

MANJUNG - Sebanyak 52 pelanggaran syarat Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dikesan berlaku di sembilan tapak projek kuari di daerah Manjung dengan sebahagiannya beroperasi dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) Segari Melintang.

Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, ketidakpatuhan itu diperoleh hasil Operasi Gempur Kuari dijalankan Jabatan Alam Sekitar (JAS) selama dua hari bermula Selasa.

Menurutnya, laporan diperoleh menunjukkan enam daripada projek kuari telah menerima kelulusan EIA untuk beroperasi dalam kawasan HSK sementara tiga lagi di tanah persendirian.

"Hampir kesemua projek kuari ini telah beroperasi lebih 20 tahun lalu dan mempunyai kelulusan EIA, bagaimanapun kita dapati telah berlaku beberapa pelanggaran syarat berkenaan antaranya gagal menyediakan kawalan hakisan dan kelodakan yang berkesan serta tidak menyediakan sistem tertutup bagi pemindahan batuan.

"Tindakan penguatkuasaan telahpun diambil oleh JAS di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 ke atas semua syarikat operator ini dengan mengeluarkan sembilan arahan di lapangan, 12 notis arahan, membuka 10 kertas siasatan bagi tujuan pendakwaan serta mengenakan 42 kompauan atas pelbagai kesalahan berjumlah RM84,000," katanya.

Mohd Akmal (tengah) ketika meninjau pegawai dan anggota yang terlibat dalam Operasi Gempur Kuari yang dijalankan di daerah Manjung pada Rabu.
Mohd Akmal (tengah) ketika meninjau pegawai dan anggota yang terlibat dalam Operasi Gempur Kuari yang dijalankan di daerah Manjung pada Rabu.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Batu, Segari di sini pada Rabu.

Hadir sama, Pengarah JAS Perak, Rosli Zul dan Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Perak, Datuk Ir Ahmad Zukni Ahmad Khalil.

Artikel Berkaitan:

Mohd Akmal berkata, hasil dapatan operasi berkenaan, dua perintah berhenti kerja turut dikeluarkan ke atas dua projek kuari yang sebelum ini dilaporkan mendatangkan kerosakan alam sekitar di kawasan HSK Segari Melintang masing-masing di alur air bermusim Tanjung Batu dan Pantai Teluk Akuan.

Beliau berkata, hasil penelitian dilakukan JAS di sekitar Teluk Akuan, memang berlaku pemendapan kelodak (sedimentasi) di alur air sungai berhampiran kawasan berkenaan.

"Perintah henti kerja ini kita keluarkan untuk menghalang projek kuari berkenaan daripada terus beroperasi dan dalam tempoh itu, mereka perlu melaksanakan kerja-kerja baik pulih serta-merta," katanya.

Katanya, operasi bersepadu yang turut disertai Jabatan Perhutanan dan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia itu menunjukkan keseriusan kerajaan negeri dalam menguatkuasakan tindakan kepada pihak yang melanggar perundangan alam sekitar.

"Ini bagi memastikan pihak pemaju menjalankan operasi dan kerja-kerja tanah mengikut kehendak perundangan yang ditetapkan," katanya.