Beri implikasi kewangan jika arah henti projek kuari di Baling

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Projek kuari batu kapur di Gunung Pulai dan Gunung Baling tidak boleh dihentikan sewenang-wenangnya kerana tindakan itu boleh mengakibatkan implikasi kewangan besar kepada kerajaan negeri.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kelulusan projek berkenaan bukan di bawah pentadbirannya, sebaliknya pemberian lesen kuari tersebut diluluskan pada 1997.

Menurutnya, sebarang tindakan susulan perlu diperhalusi bagi mengelak implikasi perundangan yang boleh menjejaskan kewangan negeri.

“Itu bukan kelulusan baharu. Projek itu kelulusan pada 1997, ia akan beri kesan daripada segi undang-undang kerana apabila kelulusan sudah diberikan, mereka sudah mula buat kerja dan keluarkan modal, tiba-tiba batal.

“Saya ada pengalaman sama di Singkir, Yan, libatkan satu kuari yang hendak dibatalkan, perlu bayar RM40 juta. Kerajaan negeri tak ada duit, jadi kita minta mereka buat langkah-langkah pencegahan banjir di kawasan itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan khemah, meja dan kerusi kepada Majlis Ketua Kampung (MKK) di Wisma Darul Aman di sini pada Khamis.

Sebelum ini, penduduk Kampung Sungai Limau dan Kampung Padang Che Mas di Baling, membantah penerokaan projek kuari batu kapur di Gunung Pulai dan Gunung Baling yang disifatkan menggugat kelestarian ekosistem di kawasan tersebut.

Penduduk mendesak agar projek berkenaan yang kini dihentikan sementara dibatalkan sepenuhnya dengan segera.

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri mengambil maklum mengenai bantahan dan keluhan penduduk terbabit dan akan memperincikan terlebih dahulu dari aspek perundangan.

“Saya tak pasti berapa lama kontrak tersebut dan perlu teliti semula kelulusan kuari tersebut, kebiasaan ada yang hingga 30 tahun, mereka pun dah beroperasi.

"Kes tersebut sedang diuruskan oleh kerajaan negeri, suara penduduk sedang didengari,” katanya.

Menurutnya lagi, kemungkinan bagi penyelesaian awal, pihak terlibat wajar melaksanakan langkah tertentu bagi memastikan aktiviti tersebut tidak menjejaskan ekosistem dan kehidupan penduduk.