TPM bertemu Pengarah Alam Sekitar EU bincang pelaksanaan EUDR

Fadillah ketika sesi Dewan Rakyat pada Khamis. - Foto Jabatan Penerangan Malaysia
Fadillah ketika sesi Dewan Rakyat pada Khamis. - Foto Jabatan Penerangan Malaysia
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof akan mengadakan pertemuan bersama Ketua Pengarah Alam Sekitar di bawah Suruhanjaya Kesatuan Eropah (EU), Florika Fink-Hooijer bagi membincangkan isu pelaksanaan Peraturan Penebangan Hutan EU (EUDR) pada 28 Jun depan.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, Florika adalah individu bertanggungjawab untuk meneliti dan merangka penyediaan EUDR secara keseluruhan.

"Dalam pertemuan di Putrajaya nanti, saya akan menegaskan pendirian yang Malaysia bawa semasa di Brussels, Belgium selain menjelaskan pandangan negara ini secara khusus terhadap pelaksanaan EUDR," katanya ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) yang bertanya mengenai hasil lawatan kerja ke Eropah dalam menangani isu diskriminasi minyak sawit serta bantuan segera penoreh dalam menangani musim panas dan penyakit daun yang menjejaskan hasil susu getah.

Dalam pada itu, Fadillah turut menyifatkan Misi Bersama Malaysia dan Indonesia ke EU sebagai berjaya dalam menyampaikan kebimbangan negara pengeluar sawit mengenai pelaksanaan EUDR secara kolektif melalui Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC).

Pada masa sama beliau menjelaskan, maklum balas daripada misi tersebut juga diharap dapat meleraikan kebimbangan Malaysia dan Indonesia terhadap pelaksanaan EUDR yang dikhuatiri boleh menjejaskan sektor sawit kedua-dua negara.

“Kementerian Perladangan dan Komoditi akan terus mengadakan libat urus bersama pihak berkaitan menerusi pelbagai platform bersesuaian supaya mesej yang konsisten dapat disampaikan kepada pihak EU demi mempertahankan industri komoditi negara.

"Ini juga (demi memastikan) kelangsungan hidup mereka yang terkesan, terutama pekebun kecil agar sejajar dengan aspirasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di bawah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang menekankan kesejahteraan untuk semua," katanya.