JALSOA kecam Tommy Thomas

Tommy Thomas
Tommy Thomas
A
A
A

PUTRAJAYA - Persatuan Pegawai-Pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (JALSOA) mengecam Tan Sri Tommy Thomas berikutan menyifatkan mereka sebagai hanya menunggu gaji bulanan dan menantikan pencen selepas persaraan.

Dalam kenyataannya, JALSOA berkata, pandangan bekas Peguam Negara di dalam bukunya 'My Story: Justice in the Wilderness' adalah bersifat jahat malah menghina seluruh pegawai undang-undang.

"JALSOA amat terkilan dan terjejas dengan kenyataan beliau tersebut," kata kenyataan itu pada Rabu.

Menurutnya, sebagai Peguam Negara ketika itu, Tommy juga adalah Ketua Perkhidmatan kepada Pegawai Undang-Undang dalam Skim Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.

"Kenyataan-kenyataan dalam buku tersebut menunjukkan beliau telah salah arah dan salah tanggapan mengenai peranan Pegawai Undang-Undang dalam skim perkhidmatan ini," katanya.

Persatuan itu berkata, pegawai undang-undang sama ada yang ditempatkan di AGC mahupun di mahkamah sentiasa menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan mengikut peruntukan undang-undang tanpa mengira siapakah Peguam Negara atau kerajaan yang memerintah.

"Kami tidak bekerja untuk mengejar populariti individu, malahan dasar kerahsiaan, integriti dan profesionalisme yang ditekankan di dalam perkhidmatan awam sentiasa melatari setiap tindakan dan tatakerja pegawai undang-undang," katanya.

Tambah JALSOA, Tommy tidak wajar mempertikaikan kemampuan, keupayaan dan keboIehan pegawai undang-undang di bawah seliaan beliau dalam tempoh yang singkat apatah lagi menyebut dengan jelas nama pegawai undang-undang dalam bukunya dengan cemuhan.

Artikel Berkaitan:

"Pegawai undang-undang yang mempunyai kelayakan dan kelulusan akademik yang setaraf dengan peguam swasta hadir mewakili kerajaan dan berjuang dalam pertikaian pihak-pihak di mahkamah termasuk pertikaian dan rundingan antarabangsa demi kepentingan negara.

"Pandangan Tommy amat tidak bertamadun dan mencerminkan kedangkalan pemikirannya," katanya.

JALSOA berkata, sebarang rasa tidak puas hati Tommy semasa berurusan dengan pegawai undang-undang tidak wajar dan tidak patut dicoretkan untuk tatapan umum.

"Persepsi tersebut adalah ciptaan Tommy sendiri atas kegagalannya dalam menerajui AGC serta memahami pentadbiran perkhidmatan awam," katanya.

Tambah JALSOA, Tommy sewajarnya menjaga kehormatan dan nama baik Peguam Negara yang pernah disandang beliau, serta institusi perkhidmatan perundangan dalam perkhidmatan awam sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

JALSOA merujuk kepada kandungan buku tersebut menceritakan kisah hidup dan perjalanan kerjaya Tommy sebagai Peguam Negara selama 21 bulan yang disebut oleh beliau sebagai “The chief legal advisor to the Prime Minister and his administration”.

Buku setebal 500 muka surat itu menceritakan pencapaian dan kegagalan kerajaan Pakatan Harapan terdahulu antara isu utama lain seperti pendakwaan ahli perniagaan buruan Low Taek Jho dan 1MDB, ekstradisi pendakwah kontroversi, Zakir Naik dan peletakan jawatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.