MP GRS gesa kerajaan siasat lanjut Tommy Thomas

Tommy Thomas
Tommy Thomas
A
A
A

KOTA KINABALU - Ahli-ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menggesa kerajaan melakukan siasatan lanjut terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang mengutus surat kepada peguam pihak penuntut yang mendakwa daripada kesultanan Sulu pada 2019.

Gesaan itu dibuat menerusi satu kenyataan bersama daripada enam ahli Parlimen GRS iaitu Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Jeffrey Kitingan; Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali; Ahli Parlimen Batu Sapi, Khairul Firdaus Akbar Khan; Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin; Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah dan Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui.

"Kami ingin menggesa kerajaan untuk membuat siasatan lanjut tentang tindakan mana-mana pihak yang telah mencetuskan ruang untuk pihak penuntut memanipulasi mekanisme mahupun proses perundangan antarabangsa melalui pendekatan 'forum shopping'.

"Ini termasuk siasatan lanjut dan terperinci terhadap tindakan mantan Peguam Negara yang telah mengutuskan surat kepada peguam pihak penuntut bertarikh 19 September 2019 tanpa mendapat persetujuan Mesyuarat Jemaah Menteri sebagaimana jawapan kerajaan di Dewan Rakyat pada 28 Mac 2023," kata kenyataan itu pada Khamis.

Kata kenyataan itu lagi, gesaan tersebut sejajar dengan pendirian GRS yang sejak dari awal mempertikaikan tindakan Tommy dalam menguruskan isu berkaitan tuntutan tidak berasas berkenaan.

"Pendirian ini dizahirkan dengan tindakan sembilan pemimpin GRS yang telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 16 Ogos 2022 terhadap bekas Peguam Negara tersebut," katanya.

Dalam masa sama, ahli-ahli Parlimen GRS juga menyeru supaya kerajaan Persekutuan memperkukuhkan tadbir urus bagi memastikan tidak ada mana-mana pihak dalam kerajaan pada masa akan datang bertindak secara unilateral dalam hal-hal sensitif yang melibatkan integriti wilayah dan kedaulatan tanah air khususnya Sabah.

"Ini termasuk keperluan untuk melaksanakan perbincangan dengan kerajaan negeri Sabah," katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa semua ahli Parlimen GRS menyokong penuh ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan bahawa kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan jenayah menurut undang-undang terhadap mana-mana pihak termasuk rakyat tempatan yang membelakangkan kepentingan dan keselamatan negara.

"Ini termasuk dengan memberikan sebarang sokongan, bantuan secara langsung mahupun tidak langsung dan bersekongkol dengan pihak yang membuat tuntutan," katanya.