Perbicaraan kes cemar Sungai Gong bermula Jun depan

Empat ahli lembaga pengarah dan seorang pengurus sebuah syarikat membaiki jentera berat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang pada 15 September lalu berhubung kes pembuangan bahan berbahaya ke dalam Sungai Gong, Rawang baru-baru ini.

Empat ahli lembaga pengarah dan seorang pengurus sebuah syarikat membaiki jentera berat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang pada 15 September lalu berhubung kes pembuangan bahan berbahaya ke dalam Sungai Gong, Rawang baru-baru ini.

A
A
A

SELAYANG - Mahkamah Sesyen di sini menetapkan perbicaraan kes lima lelaki termasuk empat beradik yang didakwa atas pertuduhan melakukan pencemaran air di kawasan perindustrian Sungai Gong, Rawang pada tahun lalu berlangsung selama enam hari bermula Jun depan.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Rohaida Che Hamid selepas prosiding kes di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin pada Selasa.

Lima tertuduh itu ialah empat pengarah sebuah syarikat yang juga adik-beradik iaitu Yip Kok Wai, 52, Yip Kok Mun, 58, Yip Kok Kuin, 50, dan Yip Kok Weng, 60, serta seorang pengurus syarikat yang sama, Ho Voon Leong, 59.

Siti Rohaida berkata, tarikh perbicaraan ditetapkan pada 2, 3, 9, 10, 17 dan 22 Jun depan.

Dalam prosiding itu, kelima-lima tertuduh diwakili Datuk M Reza Hassan.

Pada September tahun lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Norsharidah Awang membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM400,000.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa dengan niat bersama telah melakukan khianat dengan menyebabkan bahan buangan yang mengandungi bahan berbahaya dari Bengkel Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd dilupuskan ke dalam alur air.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa dengan niat bersama telah melepaskan bahan buangan sama dari bengkel sama tanpa lesen.

Artikel Berkaitan:

Isu tersebut turut mendapat perhatian Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan rasa dukacita terhadap impak yang terpaksa ditanggung rakyat di negeri itu susulan gangguan bekalan air selama beberapa hari.

Menerusi kenyataan di Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin menzahirkan perkara berkenaan melalui satu surat yang diutuskan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Antara inti pati surat tersebut, Sultan Sharafuddin mahu tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas diambil bagi memastikan rumah-rumah dan kilang-kilang terutama sekali kilang-kilang haram berhampiran tebing sungai mesti dirobohkan kerana berpotensi mencemarkan anak-anak sungai dan sungai-sungai di Selangor.

ARTIKEL BERKAITAN: Cemar Sungai Gong: Lima termasuk empat beradik didakwa