[VIDEO] Wanita hamil maut kebakaran: Polis rakam keterangan lima individu termasuk suami mangsa

A
A
A

KULAI – Lima individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung insiden kebakaran yang mengorbankan seorang wanita hamil dan seorang lelaki di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Damai Jaya, Skudai, pada Selasa.

Lima individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung insiden kebakaran yang mengorbankan seorang wanita hamil dan seorang lelaki di sebuah rumah teres.
Lima individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung insiden kebakaran yang mengorbankan seorang wanita hamil dan seorang lelaki di sebuah rumah teres.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, saksi yang dipanggil termasuk suami kepada mangsa wanita yang dipercayai hamil tiga bulan.

Jelas beliau, selain itu pemilik rumah serta jiran berdekatan turut dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes.

"Kes tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan siasatan lanjut akan diteruskan bagi memastikan tiada sebarang unsur jenayah terlibat.

"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian kedua-dua mangsa adalah akibat kecederaan terbakar kira-kira 45 peratus pada tubuh badan," katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Senai pada Rabu.

Ab Rahaman memberitahu siasatan punca kebakaran kini dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan bantuan Unit Forensik, Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM serta Unit Forensik PDRM Johor.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan seorang pekerja kilang terkilan hasratnya untuk menimang cahaya mata sulung tidak kesampaian apabila isterinya maut dalam kebakaran rumah di Taman Damai Jaya, Skudai.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi, turut meninggal dunia adalah rakan pasangan itu, Mohd Shahrizal Yap, 22, yang menumpang di rumah berkenaan sejak dua bulan lalu.

Irfan Ibrahim berkata, ketika kejadian dia sedang bekerja di sebuah kilang di Gelang Patah, Iskandar Puteri.

Isterinya Wan Norhairani Wan Norzaini, 21, sedang mengandung tiga bulan selepas mereka mendirikan rumah tangga dua tahun lalu.

 

Ringkasan AI

  • Kebakaran di Taman Damai Jaya, Skudai meragut nyawa seorang wanita hamil dan seorang lelaki
  • Lima individu termasuk suami wanita tersebut dirakam keterangan untuk bantu siasatan
  • Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan siasatan lanjut dilakukan
  • Punca kematian akibat kecederaan terbakar kira-kira 45 peratus pada tubuh badan
  • Siasatan punca kebakaran dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bersama unit forensik

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!