Johor hantar 1,000 bakul makanan kepada pekerja Malaysia di Singapura

Pekerja Malaysia yang berulang-alik dari Johor terpaksa menetap sementara di republik itu berikutan langkah ketat di pintu kedua-dua sempadan bagi mengekang pandemik Covid-19 sejak Mac tahun lepas.
Pekerja Malaysia yang berulang-alik dari Johor terpaksa menetap sementara di republik itu berikutan langkah ketat di pintu kedua-dua sempadan bagi mengekang pandemik Covid-19 sejak Mac tahun lepas.
A
A
A

SINGAPURA - Kerajaan Johor selesai melakukan penghantaran 1,000 bakul makanan ke Singapura seperti yang dijanjikan sebagai sebahagian daripada Misi Bantuan Bakul Makanan kepada pekerja Malaysia di sini.

Ia dilakukan dalam tiga fasa dengan kumpulan terakhir kira-kira 270 bakul makanan diedarkan pada 30 Januari oleh sekumpulan sukarelawan dalam kalangan pekerja Malaysia sendiri.

Fasa kedua melibatkan 430 bakul makanan telah diagihkan mulai 22 Januari, manakala fasa pertama sebanyak 300 bakul diedarkan pada 6 Disember tahun lalu.

Perkara itu disahkan oleh Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Muhammad Radzi Jamaludin kepada Bernama pada Selasa.

Majlis pelepasan lori Misi Bantuan Bakul Makanan disempurnakan Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad di Dataran Mahkota Kota Iskandar di Johor pada 3 Disember lepas.

Buat permulaan, Hasni berkata, kerajaan negeri merancang mengagihkan 1,000 bakul makanan dan akan meneruskan inisiatif itu selepas ia selesai diagihkan.

Beliau telah mengumumkan inisiatif bantuan bakul makanan itu dalam Belanjawan Johor 2021 bagi meringankan beban pekerja Malaysia yang berada di Singapura.

Bakul makanan itu mengandungi antara lain mi segera, biskut dan minuman pracampuran yang dianggar bernilai S$30 (RM91).

Artikel Berkaitan:

Ketika ini, pekerja Malaysia yang sebelum ini berulang-alik dari Johor terpaksa menetap sementara di republik itu berikutan langkah ketat di pintu kedua-dua sempadan bagi mengekang pandemik Covid-19 sejak Mac tahun lepas.

Mengetuai kumpulan sukarelawan itu, Shahruddin Haeal Helmy Mohd Noh berkata, beliau dan beberapa rakan senegara sentiasa bersedia untuk menjayakan program misi bantuan tersebut.

“Kami berbesar hati untuk membantu. Setakat ini kami mempunyai senarai rakan-rakan yang memerlukan dan ia akan sentiasa dikemas kini,” katanya ketika ditemui mengagihkan bakul makanan tersebut di sekitar Woodlands baru-baru ini.

Mesra dengan panggilan Eddie, beliau yang aktif membantu rakan senegara sejak kembali bekerja di sana pada bulan September tahun lepas boleh dihubungi melalui laman Facebooknya, ‘Eddie Dieana’.

Beliau mula bekerja di republik itu sejak tujuh tahun lalu.

Pekerja Malaysia pelbagai latar belakang ketika ditemui pada sesi pengagihan tersebut mengucapkan penghargaan atas keprihatinan kerajaan negeri Johor yang tidak mengehadkan agihan kepada anak Johor sahaja.

“Terima kasih kepada Menteri Besar Johor. Sekurang-kurangnya sumbangan ini dapat menjimatkan perbelanjaan saya bulan ini,” kata John Anak Mujang, anak jati Sarawak yang bekerja sebagai pembersih di sebuah syarikat pengangkutan awam.

Bagi Ng Kok Hooe pula, sumbangan itu dapat juga mengubat hatinya kerana terpaksa memecah tradisi tidak pulang ke Perak seperti tahun-tahun sebelumnya bagi menyambut Tahun Baharu Cina.

“Saya harap keluarga saya tetap gembira dan tidak bersedih dengan ketiadaan saya pada sambutan tahun baharu kali ini,” katanya. - Bernama