PRN: Kerajaan Perpaduan selesai isu air di Kedah jika diberi mandat

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Perpaduan memberikan jaminan akan menyelesaikan isu gangguan bekalan air di Kedah sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan nanti, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Kita tahu masalah air tidak selesai... kita tidak mahu air ‘teh susu’ di Kelantan dah jadi ‘kopi susu’, betul? Kita tidak mahu Kedah pun jadi kopi susu. Berapa banyak (kawasan) di Kedah ini (pada) waktu raya ini tak cukup air? Betul?

"Insya-ALLAH, kalau kerajaan (negeri) ini di bawah Kerajaan Perpaduan, masalah air Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan selesaikan... sebab Perdana Menteri juga Menteri Kewangan. Kalau beliau lupa, saya akan ingatkan tolong rakyat Kedah," katanya ketika menyampaikan pidato pada Himpunan MADANI Kedah 2023 di Dataran Stargate di sini malam ini.

Selain Perdana Menteri, turut hadir ialah beberapa Menteri Kabinet antaranya Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub serta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Selain itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata kementeriannya akan membantu Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dalam usaha memajukan semula Kedah.

"Begitu juga masalah perumahan dan tanah di Kedah, saya tahu masalah ini. Insya-Allah, Datuk Seri Anwar bagi tanggungjawab kepada saya (untuk) jaga kampung, jaga desa, saya tidak akan pernah untuk tidak melaksanakan amanah ini.

"Insya-ALLAH, kementerian ini (Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah) akan membantu orang kampung sama ada orang Melayu, Cina, India, Siam, Orang Asli untuk kepentingan negeri Kedah dan untuk kepentingan rakyat Malaysia keseluruhannya," katanya.

Ahmad Zahid berkata, kombinasi baik yang terjalin antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) perlu dipertahankan demi kestabilan politik.

Dalam pada itu, sebagai Pengerusi BN dan Presiden UMNO, beliau turut mengulangi pendirian parti untuk terus memberikan sokongan kepada Perdana Menteri meskipun terdapat pelbagai cabaran. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: 'Kerajaan Perpaduan berbeza dengan kerajaan terdahulu'

ARTIKEL BERKAITAN: 'Saya bukan pendendam' - Anwar

ARTIKEL BERKAITAN: PM sangkal dakwaan negeri ditadbir pembangkang dianak tiri

ARTIKEL BERKAITAN:PRN: Kerajaan Perpaduan selesai isu air di Kedah jika diberi mandat

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!