Ibu Yati yang perlu mohon maaf: Nasrudin

Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Meskipun diberi tempoh tujuh hari untuk membuat permohonan maaf berhubung isu ajaran Islam Melayu, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasrudin Hassan bertegas tidak akan berbuat demikian.

Malah katanya, pemilik akaun Facebook Ibu Yati atau nama sebenarnya Wan Noor Hayati Wan Alias yang sepatutnya perlu mengemukakan permohonan maaf.

"Pada hemah saya, beliaulah yang perlu membuat permohonan maaf kepada semua rakyat Malaysia kerana banyak tulisannya di laman Facebook mengelirukan dan menimbulkan kecelaruan terhadap fahaman umat Islam," katanya.

Menurutnya, lebih 10 laporan polis dibuat badan bukan kerajaan (NGO) terhadap wanita terbabit.

"Beliau sendiri pun telah membuat laporan polis terhadap saya, jadi saya kira perkara ini sudah sampai ke pihak berkuasa, tinggal lagi mereka akan mengambil tindakan," katanya ketika ditemui pada majlis pelepasan sumbangan Musaadah Covid-19 Yadim di pekarangan Kompleks Islam dekat sini pada Selasa.

Beliau berkata, fahaman Islam Melayu merupakan kekeliruan yang boleh merosakkan pemikiran dan akidah umat Islam.

"Saya baca dan meneliti tulisan Ibu Yati (di Facebook) sejak hampir setahun yang lalu memang sangat bercanggah dengan al-Quran dan As-Sunnah," katanya.

Nasrudin berkata, setakat ini beliau tidak mendapat sebarang tuntutan atau notis saman daripada Ibu Yati.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang saya kemukakan dalam penulisan ringkas di Facebook adalah untuk menggambarkan betapa tugas pendakwah dan alim ulama semakin mencabar apabila berdepan dengan rencamnya pemikiran masyarakat.

"Kedua untuk menasihatkan seluruh rakyat negara kita khususnya umat Islam supaya tidak terpengaruh dan terpedaya terhadap pembawaan atau penyebaran ajaran yang bercanggah dengan syariat termasuklah yang disifatkan kononnya Islam Melayu," katanya.

Nasrudin berkata, Islam yang diamalkan pada masa sekarang merupakan Islam yang sebenarnya yang diwahyukan ALLAH SWT melalui al-Quran dan As-Sunnah.

"Islam itu adalah universal. Tiada istilah Islam Arab mahupun Islam Melayu," katanya.

Tambah Nasrudin, Yadim bersedia menghulurkan bantuan kepada Ibu Yati bagi memberi penjelasan mengenai Islam.

"Itu memang tugas kami sebagai institusi dakwah," katanya.

Sabtu lalu, Ibu Yati memberi tempoh tujuh hari kepada Nasrudin untuk membuat permohonan maaf secara terbuka.

Ia susulan Nasrudin menggesa seluruh umat Islam tidak terpengaruh dengan ajaran Islam Melayu yang didakwa dibawa oleh Ibu Yati.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu Yati beri Yadim tempoh tujuh hari minta maaf

Terdahulu tular di laman sosial rakaman video yang memaparkan seorang wanita dipercayai Ibu Yati melafazkan iLa Ha iLa Ra iLa Ma) dan aku Melayu sebanyak tujuh kali sebelum kemudiannya membuat paluan gong dalam sebuah upacara.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan bermuzakarah dengan Jabatan Agama Islam Negeri sebelum memfatwakan sesuatu ajaran itu sesat atau sebaliknya.

"Saya cukup berhemah dan berhati-hati dalam masalah ini kerana mengambil pandangan Imam Malik selama mana dapat takwil, cuba takwil yang baik-baik dahulu melainkan perkara itu adalah jelas atau sudah fatwa dikeluarkan, maka itu barulah kita katakan tidak dibenarkan," katanya.

Pada Musaadah Covid-19 Yadim, agensi itu 400 set makanan sedia untuk dimakan kepada petugas barisan hadapan di sekitar Putrajaya, 100 set bantuan keperluan asas kepada mangsa banjir di Pahang serta penapis air ke Sekolah Menengah Islam Puchong, Selangor.

ARTIKEL BERKAITAN: JAIS siasat ajaran Islam Melayu: Zulkifli

Jangan terpengaruh ajaran Islam Melayu 'Ibu Yati'