Ibu Yati beri Yadim tempoh tujuh hari minta maaf

Wan Noor Hayati buat laporan polis di Balai Polis Ampang pada Jumaat selain mempertimbang untuk mengambil tindakan saman sivil terhadap Yadim. - Foto Facebook
Wan Noor Hayati buat laporan polis di Balai Polis Ampang pada Jumaat selain mempertimbang untuk mengambil tindakan saman sivil terhadap Yadim. - Foto Facebook
A
A
A

SHAH ALAM - Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasrudin Hassan diberi tempoh tujuh hari untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pemilik akaun Facebook, Ibu Yati berhubung kenyataan yang mendakwa Ibu Yati membawa ajaran agama baru iaitu Agama Melayu.

Ibu Yati atau nama penuhnya, Wan Noor Hayati Wan Alias berkata, kenyataan tersebut yang disiarkan dalam Facebook pada Jumaat telah menimbulkan kebencian awam serta menjatuhkan reputasinya sebagai Tokoh Wartawan Rakyat.

“Antara fitnah beliau terhadap saya termasuklah kononnya saya melahirkan agama baru iaitu agama Melayu, saya melakukan syahadah pelik Ila Ha Ila Ra Ila Ma dan disambungkan dengan pengakuan ‘Aku Melayu’ sebanyak tujuh kali, saya menolak ajaran Islam yang dianggap sebagai Islam Arab. Kononnya saya dan lain-lain membawa Islam Melayu.

“Dia (Nasrudin) menggambarkan niat jahatnya terhadap saya dengan merancangkan tindakan penguatkuasaan terhadap saya. Sedangkan saya tidak dimaklumkan kesalahan atau ditangkap atau didakwa atas apa-apa kesalahan berkaitan agama Islam,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.