Kajian semula UPSR, PT3 langkah berani kepimpinan KPM

SHAH ALAM - Keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk mengkaji semula pelaksanaan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) disifatkan sebagai langkah berani yang mencerminkan keterbukaan kepimpinan kementerian itu.
Pakar Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Anuar Ahmad berkata, sifat keterbukaan itu menunjukkan kesediaan KPM mendengar majoriti suara masyarakat selepas kedua-dua peperiksaan itu dimansuhkan beberapa tahun lalu.
"Saya juga tertarik dengan arahan baharu yang telah diketengahkan oleh Fadhlina dalam ucapan beliau iaitu pasukan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) diarah mengkaji, meneliti dan memberikan syor apakah ada keperluan untuk KPM kembalikan UPSR dan PT3 ke dalam sistem pendidikan negara
"Ini adalah satu keputusan yang berani daripada kepimpinan KPM selepas UPSR dan PT3 dimansuhkan. Sifat keterbukaan sebegini menunjukkan kesediaan KPM mendengar suara masyarakat terbanyak," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Beliau mengulas demikian selepas mengikuti Amanat Tahun Baharu 2026 yang disampaikan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
UPSR dimansuhkan pada 2021 ketika negara berdepan dengan pandemik Covid-19, manakala PT3 dibatalkan tahun sama, sebelum dimansuh sepenuhnya pada 2022 dan digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).
Dalam perkembangan sama, Anuar berkata, arahan baharu berhubung peluang guru membuat penilaian prestasi terhadap ketua mereka di sekolah disifatkan sebagai langkah yang baik.
"Di banyak institusi lain termasuk di universiti, amalan ini telah lama dilaksanakan dan ia sebenarnya meningkatkan peluang dan ruang kerjasama lebih mesra antara ketua dan kakitangan di bawah mereka.
"Malah di universiti, pensyarah juga dinilai oleh para pelajar di hujung semester. Dari situ, pensyarah akan berusaha meningkat kualiti pengajaran mereka pada setiap semester mendatang," ujarnya.
Beliau turut bersetuju terhadap tekad KPM untuk meningkatkan tahap kesihatan mental murid-murid dan guru serta tahap keselamatan sekolah.
Katanya lagi, inisiatif itu merupakan dua perkara paling asas untuk membangunkan pembangunan insan di ruang sekolah.
"Kita kena pastikan kesihatan mental, kesejahteraan dan keselamatan murid serta guru-guru diberikan keutamaan.
"Jika kita benar-benar mahu menjayakan pendidikan, kita kena bermula dengan menghayati apa yang terkandung dalam Teori Maslow tentang memenuhi keperluan insan untuk sejahtera, seterusnya tentang membudayakan kasih sayang dan penghargaan," ujarnya.
Tambah Anuar, beliau turut tertarik terhadap perkembangan komitmen KPM memfokus kepada kesejahteraan murid-murid Pendidikan Khas yang amat dinantikan oleh ibu bapa dan guru dalam bidang tersebut.
"Ucapan Fadhlina memberi isyarat yang jelas untuk seluruh warga KPM mula bekerja keras kerana kita mahu anak-anak kita gembira dalam menguasai ilmu, bersahsiah tinggi dan berjati diri.
"Kita juga mahu guru-guru dalam persekitaran tempoh kerja yang baik dan sejahtera. Kita mahu sistem pendidikan negara kita ditingkatkan kualiti dan semua ini perlu kepada satu perkara iaitu kesatuan usaha dan komitmen yang tinggi daripada semua pihak," katanya.
Ringkasan AI
- Keputusan KPM mengkaji semula pelaksanaan UPSR dan PT3 mencerminkan keterbukaan kepimpinan
- KPM bersedia mendengar suara masyarakat mengenai potensi pengembalian UPSR dan PT3
- UPSR dan PT3 dimansuhkan berturut-turut pada 2021 dan 2022, digantikan dengan PBS
- KPM berinisiatif meningkatkan tahap kesihatan mental murid-murid dan guru serta keselamatan sekolah
- Komitmen KPM terhadap kesejahteraan murid-murid Pendidikan Khas disambut baik
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
