Jangan terpengaruh ajaran Islam Melayu 'Ibu Yati'

Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan
A
A
A

SHAH ALAM - Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasrudin Hassan menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan ajaran Islam Melayu dibawa oleh individu yang dikenali sebagai ‘Ibu Yati’.

Beliau berkata, kelahiran agama baharu yang dikenali sebagai Agama Melayu itu menolak ajaran Islam yang dianggap sebagai Islam Arab dan mengakui membawa ajaran Islam Melayu.

“Sehari dua ini kecoh pula dengan lahirnya agama baharu yang dikenali sebagai Agama Melayu.

“Menggunakan lafaz syahadah yang pelik (seperti yang saya dengar lafaznya iLa Ha iLa Ra iLa Ma) dan disambung dengan pengakuan ‘Aku Melayu’ sebanyak tujuh kali,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook beliau pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ajaran tersebut jelas sesat dan pihak berkuasa agama sedang menyiasat perkara berkenaan bagi mengambil tindakan lanjut.

“Insya-ALLAH, dari sudut penguatkuasaan, pihak berkuasa agama sedang menyiasat dan merencana tindakan berhikmah.

“Bagi agensi dakwah seperti Yadim pula sentiasa siap untuk memberi kefahaman dan pemurnian akidah serta fikrah,” ujarnya.

Sementara itu, Ibu Yati atau nama penuhnya, Wan Noor Hayati Wan Alias menafikan kenyataan Nasruddin itu.

“Kenapa dia terus jatuh hukum pada saya? Dia (Nasruddin) tidak siasat pun saya.” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, tular satu rakaman video di media sosial menunjukkan individu melakukan upacara paluan gong yang dipercayai ritual ajaran agama Melayu di sebuah pulau yang dipercayai Pulau Besar.

Video tersebut turut mengaitkan Ibu Yati yang dikatakan membawa ajaran berkenaan.