Isteri ahli politik didakwa tanam, edar kanabis

Isteri seorang ahli politik didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan mengedar dan menanam pokok dadah jenis kanabis, bulan lalu.
Isteri seorang ahli politik didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan mengedar dan menanam pokok dadah jenis kanabis, bulan lalu.
A
A
A

AMPANG - Isteri seorang ahli politik didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan mengedar dan menanam pokok dadah jenis kanabis, bulan lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkod daripada Lyiana Roslee, 34, kerana ia berada dalam bidang kuasa mahkamah tinggi.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, wanita itu yang juga seorang suri rumah, bersama dengan seorang lagi yang belum dituduh, didakwa mengedar dadah berbahaya jenis kanabis anggaran berat 1.58 kilogram dan cecair dadah sama berisi padu 7.87 liter.

Kesalahan itu didakwa di lakukan di sebuah rumah di Duta Residensi di sini, pada jam 7.30 malam, 20 Januari lalu.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 39(B)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta sama, dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 15 kali, jika sabit kesalahan.

Sementara bagi pertuduhan ketiga, wanita itu bersama dengan seorang lagi yang belum dituduh, didakwa menanam sembilan pokok disyaki kanabis yang mana ia diperoleh secara langsung atau tidak langsung, di lokasi, waktu dan tarikh yang sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 6B(1)(a) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6(A)(3) Akta sama, yang dibaca di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.

Kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shazwani Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali dan Nur Mustanir Md Nor.

Artikel Berkaitan:

Majistret Farah Nasihah Annuar menetapkan 16 Februari depan sebagai sebutan semula kes.

Pada 22 Januari lalu, Sinar Harian melaporkan seorang ahli politik berusia 35 tahun yang juga bekas calon bagi kerusi parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, ditahan polis kerana dipercayai mengedar dadah di Pudu, Kuala Lumpur.

Selain suspek, isteri dan pembantu rumahnya turut ditahan bagi membantu siasatan.