Gerakkan kempen kesedaran lapor insiden dera kanak-kanak

Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun meninggal dunia selepas dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya pada petang Jumaat.
Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun meninggal dunia selepas dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya pada petang Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) digesa bertindak segera dalam menggerakkan kempen bersepadu seluruh negara bagi meningkatkan kesedaran dan memperkasa komuniti setempat dalam melaporkan insiden penderaan kanak-kanak dan keganasan di rumah.

Pengerusi Biro Kanun Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan), Soraya Salim menerusi kenyataan pada Sabtu berkata, selain itu, nombor Talian Kasih 15999, talian bantuan kecemasan dan balai polis terdekat seharusnya dihebahkan di semua saluran komunikasi, media dan ruang awam dalam tempoh negara menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Terutamanya yang boleh diakses kanak-kanak sama ada di program kanak-kanak di televisyen, buku sekolah, pek makanan ringan dan media sosial supaya mereka tahu di mana boleh mendapatkan bantuan dan melaporkan segera jika didera.

“Kami juga menggesa KWPKM memperluaskan kempen mobilisasi komuniti mencegah keganasan dan penderaan seperti Inisiatif Komuniti Selamat Bersepadu yang telah dilancarkan di Selangor dan Pulau Pinang berdasarkan model komuniti selamat iaitu pendekatan holistik melibatkan pelbagai sektor dalam penglibatan komuniti dan pencegahan keganasan,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang meninggal dunia selepas dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya pada petang Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, kanak-kanak malang itu didakwa lemas di dalam tong air di rumahnya di Taman Krubong Jaya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, bagaimanapun siasatan mendapati terdapat kecederaan fizikal pada badan mangsa.

ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak maut lemas dalam tong disyaki didera

Artikel Berkaitan:

'Adik tak banyak kerenah'

Jiran kerap dengar tangisan kanak-kanak

Mengulas lanjut, Soraya berkata, daripada model berkenaan, ahli komuniti harus diperkasakan bagi mengambil tanggungjawab yang lebih berbanding hanya sekadar pemerhati.

“Komuniti setempat termasuk jiran tetangga, persatuan penduduk, kariah masjid dan surau misalnya harus diperkasakan sebagai barisan hadapan mencegah dan melaporkan penderaan kanak-kanak serta keganasan di rumah,” katanya.

Tambahnya, advokasi kepada masyarakat dan komuniti juga harus dipertingkatkan serta diberikan maklumat untuk segera merujuk kes-kes dalam komuniti Pusat Sehenti Krisis (OSCC) dan sistem Suspected Child Abuse and Neglect (SCAN) di hospital kerajaan.

“Usaha-usaha pemerkasaan komuniti setempat mencegah keganasan ini harus dilancarkan segera tanpa berlengah lagi di seluruh negara,” katanya.

Menurutnya, ia bagi membantu komuniti memahami keganasan dan penderaan serta mengenal pasti puncanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!