X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 29 November 2021

Jiran kerap dengar tangisan kanak-kanak

Pita kuning polis yang diletakkan di pintu pagar rumah keluarga itu di Taman Krubong Jaya, Melaka.
A
A

MELAKA - Kehadiran sebuah ambulans di hadapan rumah disangka jirannya positif Covid-19, namun terkejut apabila dimaklumkan anak jirannya meninggal dunia akibat lemas di dalam tong.

Wanita yang hanya mahu dikenali Kak Aish, 47, berkata, dia bukan sahaja terkejut malah sedih mengenangkan mangsa berusia tujuh tahun sering termenung di luar rumah.

Menurutnya, dia yang berpindah di taman berkenaan pada tahun 2018 dari Kuala Lumpur, mengakui ibu kandung kepada kanak-kanak lelaki malang tersebut jarang bergaul dengan jiran tetangga yang lain dan sebelum ini sering melihat wanita itu keluar bekerja sebagai pengawal keselamatan di sekolah berhampiran.

Namun katanya, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dia tidak lagi melihat wanita itu keluar bekerja dan ada kalanya kanak-kanak lelaki itu berada di pekarangan rumah bersama dua adiknya.

"Semalam (Jumaat) memang saya nampak ambulans, kemudian suami saya bertanyakan kepada suami wanita itu, dan dia memaklumkan anaknya meninggal dunia kerana lemas di dalam tong.

"Tapi bila lihat tong berwarna biru dan mayat kanak-kanak itu diusung keluar dari rumah mereka saya sebak dan pilu," katanya ketika ditemui di sini pada Sabtu.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan pasangan suami isteri direman tujuh hari selepas dipercayai mendera kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun sehingga meninggal dunia dalam kejadian di Taman Krubong Jaya, petang Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, pihak polis menerima panggilan daripada bapa tiri mangsa yang anaknya itu lemas di dalam tong air setinggi 60.9 sentimeter di rumah berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak maut lemas dalam tong disyaki didera

Budak mati disyaki didera: Ibu, bapa tiri direman tujuh hari

'Adik tak banyak kerenah'

Seorang lagi jiran berusia 43 tahun mendakwa dia kerap mendengar tangisan kanak-kanak dari rumah jirannya itu namun tidak mengesyaki apa-apa memandangkan dia juga mempunyai anak kecil dan menganggap tabiat (menangis) itu biasa.

"Namun bila nampak ambulans datang, saya terus bergegas ke luar rumah dan diberitahu oleh ayah tiri mangsa bahawa anaknya telah meninggal dunia akibat lemas manakala ibu mangsa duduk di atas sofa dan menangis.

"Bila tanya pada pasukan paramedik apa berlaku, salah seorang daripada mereka maklumkan kanak-kanak itu sebenarnya telah lama meninggal dunia," katanya sedih.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di rumah mangsa mendapati rumah teres dua tingkat itu telah diletakkan pita kuning polis dan terdapat sebuah kereta Perodua Kancil berwarna putih selain sebuah lori tiga tan yang diletakkan di hadapan dipercayai milik bapa tiri mangsa.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!