Kurang stok antara punca harga gajet naik

Kenaikan harga komputer riba dan tablet ketika pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berpunca daripada kekurangan stok dan kenaikan kos logistik dari negara pengeluar. - Foto 123RF
Kenaikan harga komputer riba dan tablet ketika pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berpunca daripada kekurangan stok dan kenaikan kos logistik dari negara pengeluar. - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Kenaikan harga komputer riba dan tablet ketika pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berpunca daripada kekurangan stok dan kenaikan kos logistik dari negara pengeluar.

Pemilik Touch Media Laptop Specialist, Badrul Ikmal berkata, stok berkurangan memandangkan negara pengeluar juga tidak mampu mencapai jumlah pengeluaran komponen peranti susulan perintah kawalan pergerakan di negara terbabit.

Disebabkan itu katanya, pihak pengeluar terpaksa menamatkan beberapa model yang dikeluarkan sebelum ini dan memasarkan model yang terkini.

“Keadaan ini berbeza daripada yang dahulu, sebelum Covid-19 pengeluaran tidak terhad jadi peniaga boleh restock model yang sama dan jual pada harga yang sama.

“Namun sekarang pengeluar telah mengehadkan pengeluaran. Jadi kalau model terbabit habis, maka ia takkan dikeluarkan lagi,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Terdahulu, kenaikan harga peranti seperti komputer riba dan tablet mula disuarakan dalam kalangan ibu bapa yang kini terpaksa mencari kelengkapan itu bagi memenuhi keperluan PdPR anak-anak mereka.

Sementara itu, Pengurus Syarikat Puncak Angkasa Jaya, Muhammad Nazrin Fazli pula berkata, selain stok yang terhad, kenaikan kos logistik juga menjadi punca kepada kenaikan harga peranti elektronik.

Menurutnya, kekurangan pesawat dan kapal laut yang beroperasi turut menyebabkan stok yang ditempah peniaga sampai lewat daripada tarikh ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

“Jika lambat sampai, peniaga akan kekurangan stok. Jadi peniaga tidak ada cara lain melainkan menaikkan sedikit harga bagi menampung kos perniagaan mereka,” katanya.