Kerja pemulihan baru capai 20 peratus

Keadaan terkini di kawasan alur air bermusim di Segari selepas kerja-kerja awal pemulihan dilakukan.
Keadaan terkini di kawasan alur air bermusim di Segari selepas kerja-kerja awal pemulihan dilakukan.
A
A
A

MANJUNG - Kerja-kerja penambahbaikan dan pemulihan kawasan yang tercemar akibat pembangunan kuari di Kompartmen 16 Hutan Simpanan Kekal (HSK) Segari Melintang, Segari di sini baru mencapai 20 peratus.

Pengarah Perhutanan Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, ia membabitkan aktiviti pemuliharaan awal iaitu penanaman rumput dan pokok daripada jenis meranti temak nipis bagi mengurangkan impak hakisan dan mendapan.

"Penyelenggaraan telah dimulakan pada Khamis lepas dan setakat ini ada 40 pokok serta rumput sudah ditanam di kawasan ini.

"Untuk peringkat awal, memang kita arahkan kepada syarikat lakukan pemulihan serta-merta di bahagian bawah yang nampak paling kritikal terlebih dahulu bagi mengelak berlakunya keadaan lebih teruk seperti pencemaran air.

"Di bahagian atas masih banyak perlu dilakukan dan itu akan mengambil masa. Pihak syarikat bagaimanapun diberi tempoh dua minggu untuk menyelesaikannya," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Terdahulu, Mohamed Zin meninjau kerja-kerja pemulihan di kawasan itu yang turut disertai Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin.

Sementara itu, beliau berkata, secara keseluruhan kerja penyelenggaraan yang perlu dilakukan di kawasan itu membabitkan tiga fasa iaitu pembaikan saluran air, cerun dan tanah.

Selain Jabatan Perhutanan, katanya, kerja-kerja baik pulih itu dipantau bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh pihak kontraktor.

Artikel Berkaitan:

Mohamed Zin pada sidang akhbar di Manjung pada Selasa. Turut kelihatan, Ahmad Anuar.
Mohamed Zin pada sidang akhbar di Manjung pada Selasa. Turut kelihatan, Ahmad Anuar.

"Selagi tidak mencapai piawaian dan menepati pelan pemulihan yang dibuat JAS, selagi itulah kita tidak akan perbaharui permit dan lesen syarikat berkenaan," katanya.

Tambah Mohamed Zin, pemuliharaan ekosistem di kawasan itu yang sebelum ini dipenuhi lambakan sisa pokok dan kayu mungkin mengambil masa yang lama sekurang-kurangnya enam tahun.

"Pokok yang ditanam pun ambil masa 15 ke 30 tahun baru kita boleh nampak. Jadi langkah pemulihan awal boleh dilakukan di sini ialah dengan menanam rumput," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Hutan Simpan Segari: Banyak lagi kerosakan mungkin ditemui

Dalam pada itu, Pengarah JPS negeri, Datuk Ir Dr Ahmad Anuar Othman berkata, kemusnahan kawasan yang disebut sebagai Air Terjun Tanjung Batu itu merupakan alur air bermusim dan air terjunnya muncul pada ketika musim hujan sahaja.

"Apabila tiba musim kemarau, keadaan di sini kering. Pada tahun 2019, JPS ada bukti bergambar tiada air mengalir di kawasan ini.

"Berbeza dengan keadaan sekarang kerana ketika ini apabila musim hujan. Sebab itu air tetap mengalir dan kita dapati alirannya pun hanya ke kolam sahaja tidak sampai ke laut," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, kawasan air terjun berketinggian dianggarkan 300 meter itu musnah berikutan pembangunan projek kuari yang mendapat kelulusan kerajaan negeri menerusi syarikat berkaitan kerajaan iaitu Perbadanan Menteri Besar (MB Inc).

Siasatan dilakukan JAS kemudiannya telah mengesan enam ketidakpatuhan syarat kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dilakukan syarikat berkenaan membabitkan kerja-kerja tanah yang dijalankan tanpa mengikut pelan Land Disturbing-Pollution Prevention and Mitigation Measures (LD-P2M2).