Persiapan anjur Piala Dunia Hoki Remaja capai 68 peratus

Anil Jeet pada sidang media di Bukit Jalil pada Selasa. - Foto FB MHC
Anil Jeet pada sidang media di Bukit Jalil pada Selasa. - Foto FB MHC
A
A
A

KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) berada pada landasan tepat untuk menganjurkan Piala Dunia Remaja (JWC) lelaki pada hujung tahun ini, apabila persiapannya sudah mencecah hampir 70 peratus setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Datuk Seri Anil Jeet Singh berkata, hanya beberapa aspek seperti penginapan dan pengangkutan masih dalam perbincangan kerana memerlukan persetujuan daripada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

Beliau berkata, KHM sedang bertungkus lumus dalam menjayakan kejohanan bagi pemain bawah 21 tahun itu yang dijadual bermula 5 hingga 16 Disember depan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

"Persiapan dah capai 68 peratus, semua pihak dalam KHM sedang sibuk dengan kerja-kerja penganjuran. Kami akan beri yang terbaik buat kesemua 16 pasukan, sekurang-kurangnya kejohanan yang tidak dapat dilupakan apabila mereka meninggalkan Malaysia," katanya pada sidang media di Bukit Jalil pada Selasa.

Anil Jeet berkata walaupun KHM mencadangkan beberapa venue untuk menganjurkan kejohanan berprestij itu, FIH tetap mahu ia diadakan di Bukit Jalil sahaja bagi memudahkan pasukan bertanding.

"Jadi semua perlawanan akan berlangsung di Padang 1, manakala Padang 2 digunakan untuk latihan dan sebagainya. Keadaan padang juga berada pada tahap baik ketika ini," katanya.

Beliau turut mengesahkan saingan Piala Tun Abdul Razak kali ini, akan dianjurkan di Stadium Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak bermula 11 hingga 21 Oktober supaya tidak mengganggu persiapan JWC di Bukit Jalil.

"Ini kali kedua Piala Tun Abdul Razak tidak diadakan di ibu negara, selepas edisi 2017 yang turut dianjurkan di Ipoh," katanya.

Sementara itu, Anil Jeet berkata Liga Hoki Remaja Malaysia (MJHL) 2023 akan berlangsung dari 3 hingga 19 Ogos ini, melibatkan penyertaan 45 pasukan lelaki dan wanita membabitkan 136 perlawanan.

Selain Stadium Hoki Nasional, kejohanan bawah 19 tahun itu juga akan diadakan di Stadium Hoki Pantai, Stadium Hoki KPM di Kuala Lumpur; Stadium Hoki Bertam, Kepala Batas di Pulau Pinang; dan Stadium Hoki Bukit Serindit, Melaka.

Selain itu, buat julung kalinya, KHM dan Kelab Royal Selangor (RSC) bekerjasama menganjurkan Kejohanan Veteran Kebangsaan bermula 28 hingga 30 Julai ini melibatkan kategori 40 tahun ke atas serta 50 tahun, menggunakan format sembilan sebelah di RSC, Bukit Kiara. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!