X

Kindly register in order to view this article
!

Mahkamah cadang kes saman Tony Pua, Najib selesai cara baik

Najib (kiri) dan Tony Pua.
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa mencadangkan supaya kes saman difailkan Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua Kiam Wee terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak empat tahun lepas, atas dakwaan melakukan salah laku dalam jawatan awam berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diselesaikan secara baik.

Peguam, Tan Cheng Leong yang mewakili Tony berkata, Hakim Datuk Rozana Ali Yusof meminta supaya pihak-pihak terlibat berbincang untuk mencari penyelesaian terhadap kes tersebut.

"Mahkamah meminta pihak-pihak mempertimbangkan sama ada dapat menyelesaikan kes secara baik atau merujuk kes itu di Pusat Mediasi Mahkamah Tinggi,” katanya yang turut memaklumkan bahawa pihak-pihak berkenaan perlu mendapatkan arahan daripada anak guam masing-masing terlebih dahulu berhubung cadangan mahkamah.

Cheng Leong berkata demikian ketika dihubungi pemberita selepas pengurusan kes di hadapan Rozana menerusi e-mel pada Selasa.

Peguam, Nor Hazira Abu Haiyan yang mewakili Najib mengesahkan perkara itu dan turut memaklumkan 25 Februari ini ditetapkan untuk pengurusan kes selanjutnya.

Pada 6 Januari tahun lepas, mahkamah membenarkan permohonan Najib untuk menggantung prosiding kes saman sivil itu sementara menunggu perbicaraan kes jenayah 1MDB yang dihadapinya selesai.

Dalam perbicaraan kes 1MDB, pasukan pembelaan peguam akan menyambung soal balas terhadap saksi pendakwaan ke-10 iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Mohd Hazem Abd Rahman, 47, pada perbicaraan yang akan bersambung 8 Februari ini.

Tony memfailkan saman terhadap Najib dan kerajaan pada 16 Januari 2017 atas dakwaan Najib terlibat dalam salah laku pentadbiran awam dan kerajaan membabitkan 1MDB menuntut ganti rugi am, tambahan dan teladan, faedah, kos serta relief lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Tony mendakwa Najib adalah seorang pegawai awam kerana beliau ialah Ahli Parlimen Pekan, Perdana Menteri pada ketika itu dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB dan dalam kapasiti berkenaan, beliau mempunyai peranan secara langsung dan tidak langsung dalam membuat keputusan dan hala tuju 1MDB.

Mahkamah Tinggi di sini sebelum ini menolak saman Tony atas alasan Najib bukan seorang pegawai awam dan dengan itu beliau tidak boleh disaman atas dakwaan salah guna kedudukan jawatan awam dan Ahli Parlimen Damansara itu gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada Julai 2018 yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, Tony mendapat kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

Pada 19 November 2019, Mahkamah Persekutuan memutuskan Najib semasa menjadi Perdana Menteri adalah seorang pegawai awam dan boleh disaman atas dakwaan menyalahgunakan jawatan awam dan Tony boleh meneruskan samannya terhadap Najib serta kerajaan Malaysia melalui perbicaraan di Mahkamah Tinggi Sivil. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Tony Pua boleh saman Najib

Najib fail permohonan tangguh kes saman Tony Pua


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!