Kes saman Dr Mahathir: Anwar masukkan kehadiran

Mahathir (kiri), Anwar
Mahathir (kiri), Anwar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah memasukkan memorandum kehadiran terhadap tuntutan saman yang dikemukakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Memorandum itu difailkan firma guaman Thomas Philip yang mewakili Anwar, pada 16 Mei lalu, yang disahkan peguam, Aliff Benjamin Suhaimi.

"Pengurusan kes berkenaan ditetapkan pada 31 Mei ini," kata peguam itu.

Pada 3 Mei lalu, Dr Mahathir memfailkan saman fitnah terhadap Anwar dengan menuntut ganti rugi RM150 juta berhubung ucapan Perdana Menteri ke-10 itu di Kongres Nasional Khas Malaysia Madani:"Perlaksanaan Sebuah Idealisme" yang diadakan pada Mac lepas.

Dr Mahathir selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Law Practice of Rafique di Mahkamah Tinggi Shah Alam, dengan menamakan Anwar selaku defendan tunggal.

Dalam pernyataan tuntutan, Dr Mahathir mendakwa pada 18 Mac lepas, Pengerusi Pakatan Harapan itu telah memberikan ucapan di kongres berkenaan di Stadium Melawati, Shah Alam dan telah mengeluar beberapa kenyataan yang berbaur fitnah bertujuan untuk menjatuhkan reputasi plaintif.

Menurut Dr Mahathir, antaranya termasuk kenyataan kononnya plaintif ‘membolot’ harta untuk diberikan kepada anak-anak dan keluarganya selain memberikan layanan khas atau mengutamakan individu-individu yang berpangkat tinggi.

Dakwa Dr Mahathir, kenyataan-kenyataan itu adakah tidak benar dan menjatuhkan imejnya sebagai seorang negarawan dan bekas perdana menteri.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am berjumlah RM50 juta, ganti rugi teladan berjumlah RM100 juta dan perintah supaya defendan dengan serta-merta menarik balik kesemua kenyataan-kenyataan fitnah.

Katanya, program itu juga telah dipaparkan secara siaran langsung di akaun Facebook ‘Anwar Ibrahim’ dan di Saluran Youtube ‘Parti Keadilan Rakyat’ selain klip-klip video atau laporan media mengenai kenyataan-kenyataan defendan telah ditonton atau disebar luas ke pelbagai rangkaian media massa serta media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, Tiktok dan Youtube.

Sehubungan itu, beliau turut memohon perintah mahkamah supaya defendan memadamkan kesemua kenyataan di media sosial atau media elektronik selain memohon perintah agar defendan membuat permohonan maaf secara bertulis kepada plaintif dan relif lain yang difikirkan sesuai.

Kes ditetapkan untuk pengurusan kes menerusi e-Review di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Jamhirah Ali pada 31 Mei ini.