Anwar diarah jawab pembelaan kes saman Awang

ANWAR,AWANG.
ANWAR,AWANG.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menjawab penyataan pembelaan difailkan Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim di Mahkamah Tinggi di sini, dalam masa dua minggu.

Ia berhubung saman fitnah yang dikemukakan oleh Perdana Menteri terhadap pemimpin Perikatan Nasional (PN) ini susulan kenyataannya pada Februari lalu, menyifatkan sikap pendendam Anwar berhubung pendakwaan terpilih lebih teruk berbanding ketika pentadbiran pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Peguam, Datuk SN Nair yang mewakili Ahli Parlimen Tambun selaku plaintif berkata, ketika pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar, Aisyaf Falina Abdullah pada Selasa, mahkamah menetapkan pengurusan kes seterusnya pada 31 Mei ini.

"Ia bagi memaklumkan perkembangan status pemfailan dokumen kes saman tersebut," katanya.

Selain Nair, Anwar yang juga Pengerusi PH diwakili peguam, Jaden Phoon Wai Ken dan Wong Guo Jin.

Pada Februari lalu, Awang menyifatkan sikap pendendam Anwar berhubung pendakwaan terpilih lebih teruk berbanding ketika pentadbiran pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pada 3 Mac lalu, Anwar, 76, memfailkan saman terhadap Awang Solahuddin selaku defendan berhubung kenyataan itu yang didakwa berbaur fitnah.

Anwar berkata, defendan dengan sengaja memfitnah walaupun plaintif sudah menafikan secara terbuka bahawa beliau pada realitinya tidak campur tangan dengan tugas serta kuasa agensi penguatkuasaan dan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Menurutnya, kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud beliau mempunyai sifat pendendam, telah menyalah guna kuasa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dengan mencampuri, mengganggu serta sewenang-wenangnya mengarahkan agensi penguatkuasaan undang-undang dan pendakwaan di Malaysia untuk agenda politik peribadi.