Najib fail permohonan tangguh kes saman Tony Pua

Najib dan Tony
Najib dan Tony
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan permohonan menangguhkan prosiding kes saman oleh Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua Kiam Wee berhubung dakwaan menyalahgunakan jawatan awam berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Sivil di sini hari ini.

Peguam, Tan Cheng Leong bagi pihak Tony Pua berkata, Najib selaku responden membuat permohonan penangguhan bagi menunggu kes lain yang masih dalam perbicaraan.

Beliau berkata, pihaknya percaya alasan proses pembelaan dalam kes lain akan terjejas sekiranya pembelaan dalam saman sivil itu diteruskan.

“Senario ini agak sama dengan kes jenayah 1MDB yang masih dibicarakan. Peguam Nor Hazira Abu Haiyan yang mewakili bekas Perdana Menteri itu memfailkan permohonan penangguhan sementara menunggu hasil kes jenayah tersebut.

“Dalam istilah orang awam, mereka mahu menunggu kes jenayah selesai sebelum kes ini dapat diteruskan,” katanya pada sidang media selepas pengurusan kes dalam kamar Hakim Datuk Rozana Ali Yusof di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Najib membuat permohonan itu pada 23 Disember tahun lalu dan mahkamah menetapkan Isnin depan sebagai tarikh pengurusan kes untuk semua pihak menentukan sama ada mahu membantah untuk kekal dengan permohonan berkenaan.

Pada 19 November tahun lalu, Mahkamah Persekutuan di Putrajaya memutuskan Najib ketika menjadi Perdana Menteri adalah seorang pegawai awam dan boleh disaman atas dakwaan menyalahgunakan jawatan awam.

Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan yang menyampaikan keputusan panel tujuh hakim mahkamah itu berkata, perdana menteri atau mana-mana menteri adalah pegawai awam mengikut Seksyen 5, Akta Prosiding Kerajaan 1956.

Artikel Berkaitan:

Pada Julai 2018, Tony Pua gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi, sebelum mendapat kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan.

Sebelum itu, Tony Pua menyaman Najib dan kerajaan atas dakwaan menyalahgunakan jawatan awam berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan memohon ganti rugi am, teruk dan teladan, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

ARTIKEL BERKAITAN: Tony Pua boleh saman Najib