Tony Pua boleh saman Najib

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (dua, kanan) tiba pada hari kedua perbicaraan berhubung kes pindaan laporan Audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi beliau bersama bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (dua, kanan) tiba pada hari kedua perbicaraan berhubung kes pindaan laporan Audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi beliau bersama bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan memutuskan Datuk Seri Najib Tun Razak semasa menjadi perdana menteri adalah seorang pegawai awam dan boleh disaman atas dakwaan menyalahgunakan jawatan.

Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan yang menyampaikan keputusan panel tujuh hakim mahkamah itu berkata, perdana menteri atau mana-mana menteri adalah pegawai awam mengikut Seksyen 5, Akta Prosiding Kerajaan 1956.

Beliau berkata, pada peringkat itu, dakwaan prima facie oleh Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua Kiam mengandungi elemen yang perlu untuk mengemukakan dakwaan yang sah.

"Tony Pua boleh meneruskan dakwaannya terhadap Najib dan kerajaan Malaysia dengan cara perbicaraan di Mahkamah Sivil.

"Bagaimanapun, sama ada atau tidak Tony Pua boleh berjaya dalam perbicaraan akan membabitkan persoalan keterangan berkaitan dengan kemusnahan yang didakwa dideritainya," kata Nallini.

Panel tujuh hakim itu yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membenarkan rayuan Tony Pua untuk mengembalikan semula samannya terhadap Najib dan kerajaan yang ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 2017.

Hakim yang lain ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Ahmad Maarop; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed; Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Setia Mohd Zawawi Salleh dan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin (yang baharu bersara).

Hakim Tengku Maimun merujuk semula perkara itu ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan dan menetapkan 26 November untuk sebutan.

Artikel Berkaitan:

Beliau memerintahkan Najib membayar RM30,000 sebagai kos kepada Tony Pua tetapi tidak mengeluarkan perintah kos yang perlu dibayar oleh kerajaan.

Dalam keputusannya, Nallini berkata, tidak dinyatakan dalam perundangan sama ada dalam Perlembagaan Persekutuan atau Akta Tafsiran untuk membatalkan definisi ‘common law’ bagi terma 'pegawai awam'.

Beliau berkata, tiada undang-undang bertulis spesifik yang dikuatkuasakan di Malaysia yang meminda dan menggantikan salah guna jawatan awam dalam common law tort.

Nallini berkata, salah guna jawatan awam tort juga boleh digunakan terhadap Najib sebagai seorang individu yang memegang jawatan awam atau sebagai pegawai awam.

Beliau berkata, Seksyen 5, Akta Prosiding Kerajaan menetapkan dakwaan boleh dikemukakan terhadap seorang pegawai awam dan ia termasuk dakwaan terhadap perdana menteri ialah seorang pegawai awam seperti ditetapkan dalam akta itu.

Tegas beliau, kerajaan boleh dipertanggungjawabkan berhubung tindakan seorang perdana menteri atau menteri yang lain bagi salah guna kedudukan pegawai awam tetapi sama ada tindakan itu berjaya atau tidak adalah berdasarkan fakta dan undang-undang Seksyen 5 Akta Prosiding Kerajaan.

Mahkamah Tinggi menolak saman Tony Pua atas alasan Najib bukan seorang pegawai awam dan dengan itu beliau tidak boleh disaman atas dakwaan salah guna kedudukan jawatan awam.

Rayuan Tony Pua gagal di Mahkamah Rayuan pada Julai tahun lepas yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum mendapat kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan.

Sebelum itu, Tony Pua menyaman Najib dan kerajaan atas dakwaan menyalahgunakan jawatan awam berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan memohon ganti rugi am, teruk dan teladan, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Beliau mendakwa, Najib ialah seorang pegawai awam iaitu ahli Parlimen Pekan, perdana menteri pada ketika itu dan pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB dan dalam kapasiti berkenaan yang berperanan secara langsung dan tidak langsung dalam membuat keputusan dan hala tuju 1MDB.

Tony Pua diwakili barisan peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar, Tan Cheng Leong dan Surendra Ananth. Peguam Wan Azmir Wan Majid mewakili Najib manakala Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke Yee Ching mewakili kerajaan. - Bernama