Speaker DUN Negeri Sembilan mohon aktif semula kes saman sivil

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEREMBAN - Peguam kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Mohamad Omar memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi di sini untuk mengaktifkan semula kes saman sivil yang dikemukakan terhadap empat individu termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng berhubung kenyataan fitnah dikeluarkan tiga tahun lalu.

Menurut Hazwan Mohd Nor dari Tetuan Kamal Hisham & Associates, surat permohonan itu telah dihantar kepada pihak mahkamah sebaik sahaja menerima makluman yang anak guamnya diarah membayar kos RM1,500 kepada setiap defendan.

"Surat berkenaan telah difailkan pihak kami semalam (Selasa). Sebenarnya kami tidak menerima sebarang makluman yang pada 8 Mei lalu adalah pengurusan kes untuk makluman status mediasi.

"Kali terakhir saya turut serta dalam prosiding kes adalah pada 22 Mac 2023 dan itu pun diadakan secara dalam talian sahaja.

"Malah pihak kami juga tidak menerima apa-apa emel daripada mahkamah yang meminta untuk datang secara fizikal di mahkamah pada hari Isnin seperti didakwa peguam defendan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Ujarnya, tarikh sambung perbicaraan sepatutnya bermula pada Julai 2023.

Tambah beliau, pihaknya akan membuat permohonan rasmi mengaktifkan semula kes itu kepada pihak mahkamah minggu ini.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan mahkamah telah menolak permohonan saman sivil yang dikemukakan oleh Zulkefly terhadap pemilik laman sosial Facebook PH Hot Coffee termasuk ADUN Lenggeng berhubung kenyataan fitnah dikeluarkan tiga tahun lalu.

Hakim, Wan Fadhilah Nor Wan Idris menolak tuntutan saman sivil yang dibuat oleh Zulkefly pada 5 Februari 2020 dengan mengarahkan plantif membayar kos RM1,500 kepada setiap defendan.

Empat defenden berkenaan ialah ADUN Lenggeng, Suhaimi Kassim, bekas Setiausaha Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Sembilan, Mohd Asri M Jamil, Adli Adnan serta Tandiko Dalusin.

Menurut peguam Ahmad Lokman Abdul Aziz dari Tetuan Aslizan Intan Ruwaida & Partners yang mewakili defendan kedua, Adli, sepatutnya pada 8 Mei 2023 untuk dimaklumkan status mediasi, tetapi peguam Plaintif gagal hadir walaupun diberi tempoh sehingga jam 11 pagi.