Dua digit kes selepas pelaksanaan PKPB selama tiga bulan

Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Bernama
Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kes positif Covid-19 dijangka kembali kepada dua digit selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama empat minggu disusuli PKP Bersyarat (PKPB) sekurang-kurangnya tiga bulan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka dua digit itu dijangka dapat dicapai pada 11 Mei depan.

"PKP selama empat minggu hanya mampu untuk menstabilkan kes dan mengelakkan kes melonjak lebih tinggi," katanya dalam sesi taklimat bersama pemberita secara maya pada Isnin.

Menurutnya, kesan pelaksanaan PKP akan dapat dilihat mulai pada 27 Januari iaitu selepas dua minggu pelaksanaannya di mana kes dijangka kembali stabil.

Tambah beliau, sekiranya peningkatan kes terus dapat dielakkan, kadar kebolehjangkitan (Rt) akan menurun pada paras 1.0.

"Kalau kita lihat hari ini (Isnin), nilai Rt telah turun kepada 1.06 berbanding semalam (Ahad) iaitu 1.2.

"Jadi kalau lihat jangkaan kes hari ini adalah 3,000 tetapi kes harian yang dilaporkan melebihi sedikit daripada itu iaitu 3,048 kes," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, PKP tidak boleh dilaksanakan dalam tempoh yang panjang kerana ia akan memberi kesan kepada sektor ekonomi.

Artikel Berkaitan:

"Kita perlu imbangkan antara kesihatan dan ekonomi.

"Negara tidak memerlukan pelaksanaan PKP sekiranya pematuhan semua pihak pada tahap tertinggi," katanya.

Beliau berkata, peperangan menentang Covid-19 tidak akan berjaya tanpa kerjasama semua pihak termasuk media.

"Ini adalah tanggungjawab sosial semua individu bagi bersama KKM menentang Covid-19," katanya.

PKP 2.0 dilaksanakan di tujuh negeri bermula pada 13 Januari lalu dan dilanjutkan sehingga 4 Februari depan.