Pekerja kedai cuci kereta dihukum gantung

Satha (tengah) dan Hafizal (kiri) dibawa anggota polis keluar dari Mahkamah Tinggi Johor Bahru.
Satha (tengah) dan Hafizal (kiri) dibawa anggota polis keluar dari Mahkamah Tinggi Johor Bahru.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang pekerja di kedai cuci kereta selepas didapati bersalah mengedar 99.16 gram methamphetamine, dua tahun lalu.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, S Satha Sivam, 44, selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan tertuduh tidak bersalah dalam kes tersebut.

Collin turut menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati tiada faktor yang menunjukkan tertuduh memenuhi syarat wajib kepada pindaan terhadap hukuman mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang mana mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara dan mengetepikan hukuman gantung sampai mati.

"Selepas meneliti semua keterangan dan mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pendakwaan.

"Mahkamah juga mendapati tidak terdapat faktor keterangan tertuduh yang memenuhi kepada syarat wajib bagi pindaan hukuman seksyen ini, oleh itu, mahkamah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap tertuduh," katanya.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa mengedar dadah berbahaya itu di sebuah bilik dekat tingkat atas sebuah kopitiam di Jalan Meldrum di sini, kira-kira jam 7.40 malam, 9 September 2016.

Untuk itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) ADB 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Peguam Nur Zafirah Norizan yang mewakili tertuduh memohon hukuman penjara dan memberitahu anak guamnya memenuhi dua syarat pilihan mengikut pindaan hukuman seksyen berkenaan.

"Anak guam saya memenuhi dua syarat pilihan iaitu kes ini tidak membabitkan jual beli dadah dan tiada ejen yang terbabit, malah tertuduh juga memberikan kerjasama sepanjang siasatan kes dihadapinya," katanya.

Artikel Berkaitan:


Bagaimanapun, ia dibantah Timbalan Pendakwa Raya, Nor Iffa Zarilla Abd Rahman yang memohon mahkamah mengguna pakai hukuman asal seksyen berkenaan.

"Tertuduh hanya memenuhi syarat pilihan dan bukannya syarat wajib pindaan.

"Pendakwaan juga mendapati hanya dengan memberikan kerjasama sepanjang siasatan tidak cukup untuk memenuhi syarat wajib dalam pindaan hukuman seksyen ini iaitu tiada bukti yang boleh membawa kepada hal membanteras kegiatan dadah itu," katanya.

Seramai enam saksi pendakwaan dikemukakan sepanjang prosiding perbicaraan kes itu yang bermula pada 15 Oktober 2017, manakala hanya dua saksi pembelaan dikemukakan iaitu tertuduh dan abangnya.

Difahamkan, polis yang pergi ke bilik berkenaan menjumpai beg silang di atas katil dan dalam beg berkenaan terdapat tiga plastik lutsinar mengandungi hablur kristal disyaki dadah berbahaya, pasport tertuduh, laporan polis nama tertuduh, kertas tempahan pengeposan atas nama tertuduh, anak kunci dan wang tunai bercampur dan bernilai RM2,114.

Dalam pada itu, di mahkamah sama, seorang kontraktor, Hafizal Ismail, 45 diarah membela diri selepas didapati mengedar 609.2 gram kanabis, tahun lalu.

Hafizal dipanggil membela diri selepas Collin mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Tertuduh kemudiannya memilih untuk memberi keterangan secara tidak bersumpah di kandang tertuduh ketika prosiding bela diri yang ditetapkan pada 11 Disember ini.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa mengedar dadah berbahaya itu di tepi lorong rumah dekat Jalan Balau 5, Taman Rinting, Masai di sini, kira-kira jam 12.20 tengah hari, 25 Mei 2017.

Untuk kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nor Farhana Adham yang mengemukakan lapan orang saksi sepanjang prosiding perbicaraan, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Abd Kadir.