Bekas tentera bunuh anak dihukum gantung

Tertuduh (dua dari kiri) diiringi anggota polis sebaik selesai keputusan kes pada Selasa.
Tertuduh (dua dari kiri) diiringi anggota polis sebaik selesai keputusan kes pada Selasa.
A
A
A

SEREMBAN - Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang bekas tentera selepas didapati bersalah membunuh anak perempuannya, kira-kira lima tahun lalu.

Hakim Datin Rohani Ismail menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Mohammad Abdullah Mohamed, 41, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Rohani dalam penghakiman memaklumkan tertuduh didapati bersalah dan disabitkan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang mana boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 hingga 50 tahun dan dikenakan minimum 12 sebatan.

Katanya, setelah mahkamah mendengar dan menimbang hujahan peguam bela tertuduh dan pihak pendakwaan, mahkamah dengan ini menjatuhkan hukuman mati ke atas tertuduh.

"... Di mana kamu diperintahkan digantung di leher sehingga mati pada tarikh yang akan ditetapkan kelak. Apa yang diketengahkan (pihak pembelaan) adalah penafian dan andaian semata-mata," katanya.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Nur Aina Nabihah Mohammad Abdullah yang ketika itu berusia sembilan tahun pada 31 Januari 2018 jam lebih kurang 11.30 malam di rumahnya di Jalan Vista Jaya 5, Taman Vista Jaya, Lukut, Port Dickson.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Maleeha Syed Hussin dan Ala'uddin Baharom, manakala tertuduh diwakili oleh dua peguam dari sebuah syarikat guaman.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu peguam tertuduh dalam rayuannya berkata, sebelum ditangkap anak guamnya berkhidmat di Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama 17 tahun satu bulan dan amat menyesal serta memohon maaf, justeru mohon hukuman penjara paling minimum bermula tarikh ditangkap pada 31 Januari 2018.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Maleeha dalam hujahannya berkata, memohon mahkamah mengambil kira bahawa mangsa yang meninggal dunia ini adalah anak kandung tertuduh, punca kematian adalah disebabkan kecederaan abdomen.

"Dalam kes ini, terdapat 32 kecederaan luaran dan pelbagai kecederaan dalaman si mati, tertuduh telah bertindak kejam memijak serta menendang si mati hingga maut, perbuatan ini tanpa belas kasihan seorang yang dikenal terhadap anak kandungnya sendiri.

"Pihak pendakwaan mohon satu hukuman berat dikenakan, hukuman paling wajar dikenakan adalah hukuman mati," katanya.