X

Kindly register in order to view this article
!

Ubat gout bantu rawat pesakit Covid-19

Ubat yang digunakan untuk merawat gout itu didakwa boleh mengurangkan sehingga 50 peratus jumlah pesakit Covid-19 memerlukan bantuan ventilator. - Foto: Agensi
A
A

MONTREAL - Ujian klinikal utama menunjukkan ubat antiradang, colchicine berkesan untuk merawat Covid-19 dan mengurangkan risiko komplikasi penyakit itu ketika negara antarabangsa bergelut untuk mendapatkan bekalan vaksin mencukupi.

Pengumuman itu dibuat Institut Jantung Montreal berdasarkan kajian 'penemuan saintifik utama' yang menjadikan ubat digunakan bagi merawat gout sebagai ubat oral pertama yang boleh merawat pesakit mengalami gejala ringan dan tidak memerlukan rawatan di hospital.

Penyelidikan yang dijalankan di Kanada, Amerika Syarikat, Eropah dan Amerika Selatan membabitkan 4,488 pesakit itu juga menunjukkan colchicine dapat mengurangkan sehingga 21 peratus risiko kematian atau pesakit yang perlu mendapatkan rawatan di hospital.

"Penggunaan ubat itu mengurangkan 25 peratus jumlah pesakit yang perlu dirawat di hospital dan sehingga 50 peratus individu yang memerlukan bantuan ventilator dan risiko kematian kepada 44 peratus.

"Angka itu diperoleh berdasarkan kajian terhadap 4,159 pesakit yang disahkan positif Covid-19 melalui ujian polymerase chain reaction (PCR)," menurut kesimpulan penyelidikan tersebut.

Sementara itu, Pengarah MHI Research Centre dan Penyelidik utama kajian itu, Dr Jean-Claude Tardif berkata, colchicine efektif untuk mencegah sindrom keradangan berbahaya digelar 'cytokine storms' dan mengurangkan komplikasi berkaitan Covid-19.

"Kami berbesar hati untuk menawarkan ubat oral pertama di dunia yang memberi impak positif terhadap kesihatan awam selain berpotensi mencegah komplikasi Covid-19 melibatkan jutaan pesakit.

"Ia adalah penyelidikan terbesar di dunia yang menguji ubat oral sebagai alternatif selain vaksin," ujarnya. - AFP


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!