Ambulans bawa pesakit langgar kerbau

Keadaan ambulans remuk selepas terbabit kemalangan dengan seekor kerbau di Batu Gajah pada Rabu. - Foto ihsan pembaca
Keadaan ambulans remuk selepas terbabit kemalangan dengan seekor kerbau di Batu Gajah pada Rabu. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

BATU GAJAH - Tiga kakitangan kesihatan dan seorang pesakit terselamat selepas ambulans dinaiki mereka melanggar seekor kerbau dalam kejadian di Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Pusing pada Rabu.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, pembantu perawat kesihatan berusia 37 tahun cedera ringan di kaki kiri dan pembantu jururawat berusia 40 tahun patah tiga tulang rusuk dan luka di kaki kiri.

Menurut beliau, seorang pesakit wanita berusia 32 tahun mengalami lebam di tangan kiri manakala pemandu ambulans berusia 47 tahun tidak mengalami kecederaan dalam kejadian sekitar jam 10.30 malam itu.

"Siasatan mendapati kemalangan itu berlaku ketika ambulans dari Unit Kecemasan Hospital Batu Gajah hendak menghantar pesakit berkenaan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

"Setibanya di tempat kejadian, kenderaan terbabit telah melanggar sekumpulan kerbau yang melintas jalan dari kiri ke kanan," katanya di sini pada Khamis.

Azizi berkata, kesemua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Batu Gajah untuk rawatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tambah beliau, tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi menangani isu haiwan keliaran itu.

"Kita terima arahan tindakan bersama pegawai daerah Kinta, Majlis Daerah Batu Gajah serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan dilakukan dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

"Penternak sekitar daerah berkenaan diminta untuk tidak membiarkan haiwan ternakan merayau kerana boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Steven Tiw berharap Jabatan Kerja Raya dapat menaik taraf Jalan Persekutuan berkenaan.

"Lokasi kejadian amat gelap sejak 15 tahun lalu, tambahan ia merupakan jalan utama yang menghubung Ipoh dan Tronoh itu.

"Diharapkan pihak Kementerian Kerja Raya dapat menambah lampu di kawasan tersebut dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya," katanya.