Covid-19: 18 kematian, 3,631 kes baharu

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIEKMASKINI] Status terkini perkembangan Covid-19 melaporkan 18 kematian dan 3,631 kes positif baharu.

Kes kematian itu merupakan yang tertinggi sejak pandemik Covid-19 membadai negara sekali gus menjadikan jumlah kematian keseluruhannya 660 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak enam kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara dikesan manakala 3,619 kes adalah penularan tempatan.

"Pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif positif Covid-19 sebanyak 132,706 dengan 42,814 pesakit sedang menerima rawatan," katanya.

Beliau berkata, seramai 251 pesakit dirawat di unit rawatan rapi termasuk 102 yang memerlukan bantuan pernafasan.

"Bilangan kes sembuh yang dilaporkan ialah 2,554 kes yang menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 132,706," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, Selangor melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 782 kes.

"Daripada jumlah ini, sebanyak 574 kes daripada kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan," katanya.

Menurutnya, Johor melaporkan 466 kes diikuti Sabah 453 kes serta Sarawak 229 kes.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau bagi Pulau Pinang, jumlah kes ialah 202, Negeri Sembilan (197), Terengganu (178), Kedah (166), Kelantan (161), Perak (138), Melaka (82), Pahang (61), Putrajaya (39), Labuan (29) dan Perlis (13) kes.

Beliau berkata, sebanyak 89 kes yang dilaporkan adalah berkaitan kluster di lokap, depot tahanan imigresen dan penjara.

"Ia membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (51) kes, Kluster Tembok Mempaga (15), Kluster Tembok Nanas (12), Kluster Penjara Seberang Perai (lima), Kluster Tembok Renggam (empat) dan Kluster Tembok Kemus (dua)," katanya.

Tambahnya, kes kematian yang dilaporkan melibatkan sembilan di Selangor, tiga di Sabah, dua di Kuala Lumpur dan Sarawak dan Pulau Pinang serta Johor melaporkan satu kes.

"KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 12 kluster baharu dikenal pasti membabitkan tujuh berkaitan tempat kerja, dua kluster komuniti, dua kluster yang melibatkan kumpulan berisiko dan satu kluster tahanan.

Kluster terbabit ialah Jalan Indah Gemilang, Jalan Perwira, Selasih Perindu dan Tembok Renggam di Johor.

Kluster Sungai Condong dikesan di Selangor, Jalan Kinabenua di Labuan, Jalan Desa Jeracco di Sabah, Kampung Paya Siput dan Tanjung Lumpur di Pahang, dan Serkam Tengah di Melaka.

"Kluster Putra Tujuh dikesan di Putrajaya dan Petaling, Selangor. Kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-172697 dilaporkan positif hari ini (Jumaat) pada saringan pra prosedur.

"Kluster ini melibatkan pesakit dan petugas perubatan di Hospital Putrajaya," katanya.

Tambah Dr Noor Hisham, sehingga kini 191 individu telah disaring dan 12 kes dikesan positif Covid-19.