X

Kindly register in order to view this article
!

TLDM bakal terima dua lagi LMS

Mohd Reza - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dijangka menerima baki dua lagi Kapal Misi Pesisir (LMS) pada Ogos serta November, tahun ini.

Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berkata, LMS pertama (KD Keris) telah menyertai Armada TLDM pada 17 Januari tahun lepas bagi melaksanakan tugas rondaan dan pengawasan maritim, manakala LMS kedua (Sundang) baru diterima pada 14 Januari.

Beliau berkata, kesemua LMS itu bakal menyertai Skuadron LMS Ke-11, turut sama melakukan tugasan mencari dan menyelamat di samping menguatkuasakan undang-undang maritim Malaysia.

“Jadi baki kapal salah satu daripada lima kelas kapal di dalam Program Transformasi Armada 15to5 akan diterima pada tahun ini, seperti yang dirancang.

“Selain itu, TLDM juga akan menerima tiga buah Helikopter Operasi Maritim (HOM) secara berperingkat iaitu bermula pada tahun hadapan,” katanya dalam perutusan tahun baharu 2021 pada Jumaat.

Mohd Reza berkata, sebanyak tiga buah HOM, menerusi kontrak perolehan dimeterai pada 2 September tahun lepas, dengan yang pertama akan diterima pada 30 Oktober 2022, kedua pada 31 Mei 2023 dan terakhir pada 28 Februari 2024.

“Selain itu, sebanyak enam daripada 12 buah ‘Vertical Take-off and Landing (VTOL) Unmanned Aerial System (UAS) ScanEagle’ telah diterima setakat ini, manakala baki lagi enam pihak TLDM akan terima pada Jun tahun ini.

“Selaras dengan pelan pembangunan dan keperluan operasi masa hadapan, TLDM turut merancang untuk melaksanakan perolehan menerusi Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) bermula tahun ini hingga 2025,” katanya.

Beliau dalam masa sama memaklumkan sebanyak RM2.9 bilion diperuntukkan tahun ini buat TLDM, iaitu peningkatan sebanyak RM164 juta (5.96 peratus) berbanding tahun lepas.

“Daripada jumlah berkenaan, RM1.683 bilion diperuntuk bagi Belanja Mengurus dan RM1.233 bilion untuk Belanja Pembangunan,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!