JDT bakal terima tentangan sengit

Esteban Solari - Foto Facebook Johor Southern Tigers
Esteban Solari - Foto Facebook Johor Southern Tigers
A
A
A

KESEBELASAN Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal berdepan tentangan sengit ketika melayan kunjungan Selangor FC bagi aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, pada Sabtu.

Menurut pengendali JDT, Esteban Solari, skuad Red Giant itu memiliki ramai pemain berkualiti selain merupakan pasukan yang sukar ditewaskan.

“Ya, kita akan mengharungi satu lagi perlawanan yang sukar. Tapi ini adalah bola sepak. Anda baru sahaja menang (Piala FA), tapi tak boleh meraikannya terlalu lama kerana anda perlu bersedia untuk berdepan lawan yang seterusnya selepas itu.

“Kali ini lawan anda pula bukannya calang-calang pasukan. Kita akan berdepan Selangor, pasukan yang sukar untuk ditewaskan, malah tampil dengan pemain baharu.

“Apa pun, kita tetap perlu bersedia selain bekerja keras bagi mengharungi perlawanan dengan Selangor ini,” katanya menjelang aksi berkenaan.

Untuk rekod, JDT menang 4-0 ke atas Selangor FC pada aksi pusingan pertama Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), 17 Mac lalu.

Malah, skuad Harimau Selatan itu turut menang dengan jaringan sama pada aksi separuh akhir Piala FA di venue sama, 26 Jun lalu.

Justeru, 'sayembara' dua pasukan teratas Liga Super itu dijangka berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan pasti mahu melakar keputusan terbaik dan mengukuhkan kedudukan dalam carta liga kali ini.

Sementara itu, ‘hero’ aksi final Piala FA minggu lalu, Nathaniel Shio Hong Wan berharap kesemua rakan sepasukan dapat memberikan fokus pada aksi berdepan Selangor FC dalam usaha meraih tiga mata berharga di laman sendiri.

Katanya, biarpun menyedari bakal berdepan tentangan sengit, beliau percaya kesebelasan pemain mampu melakukan yang terbaik.

“Kami telah meraikan kejayaan (Piala FA) dan kini kami akan berikan fokus pula untuk berdepan Selangor FC.

“Walaupun saya tahu, pasukan ini sukar untuk ditewaskan, namun, saya percaya rakan-rakan sepasukan mampu berikan yang terbaik,” katanya.