[DIKEMASKINI] 3,337 kes Covid-19 hari ini, 15 kematian

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Bilangan kes baharu positif Covid-19 di Malaysia sekali lagi mencatatkan angka tertinggi sejak pandemik itu melanda negara pada Januari tahun lalu dengan 3,337 kes dilaporkan pada Khamis.

Ia menjadikan kes tertinggi kali ketiga direkodkan pada Januari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 yang dilaporkan di negara ini ialah sebanyak 147,855 kes.

"Kes aktif pula pula ialah sebanyak 33,989 kes," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, daripada jumlah kes baharu itu, tujuh merupakan kes import yang mendapat jangkitan daripada luar negara, manakala sebanyak 3,330 kes adalah penularan dalam negara.

"Bagi kes penularan dalam negara, sebanyak 2,142 kes melibatkan rakyat tempatan dan 1,188 dikesan dalam kalangan warga asing," katanya.

Status terkini kes Covid-19 pada Khamis. - Infografik KKM
Status terkini kes Covid-19 pada Khamis. - Infografik KKM

Memperincikan jangkitan setiap negeri, beliau berkata, Selangor melaporkan bilangan kes terbaharu tertinggi iaitu sebanyak 1,036 kes, diikuti Johor (460) dan Sabah (389).

Artikel Berkaitan:

"Kuala Lumpur merekodkan sebanyak 257 kes,Pulau Pinang (234), Sarawak (180), Negeri Sembilan (169), Pahang (113), Perak (92), Terengganu (89), Kedah (86), Melaka (85), Kelantan (85), Labuan (34), Putrajaya (24) dan Perlis (empat)," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 153 kes yang dilaporkan adalah berkaitan kluster di lokap, depot tahanan Imigresen dan penjara.

"Ia membabitkan Kluster Tembok Mempaga sebanyak 63 kes, selain Kluster Tropika (51), Kluster Penjara Jalan Harapan (34), Kluster Penjara Kepayan (dua) serta masing-masing satu kes membabitkan Kluster Tembok Choh, Kluster Tembok Gajah dan Kluster Pagar," katanya.

Kes Covid-19 mengikut negeri. - Infografik KKM
Kes Covid-19 mengikut negeri. - Infografik KKM

Menurutnya, seramai 195 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) termasuk 86 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

"Sebanyak 15 kes kematian dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melibatkan 13 rakyat tempatan dan dua warga asing yang berumur antara 27 hingga 91 tahun serta mempunyai latar belakang penyakit lain.

"Sementara itu, 1,710 disahkan pulih sepenuhnya daripada Covid-19. Jumlah keseluruhan kes pulih adalah 113,288 iaitu bersamaan 76.6 peratus," katanya.