PKPB kali kedua resahkan peniaga Pasar Siti Khadijah

Suasana lengang di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kelantan ekoran peningkatan kes baharu pandemik Covid-19 di negeri tersebut ketika tinjauan pada Khamis. - Foto Bernama
Suasana lengang di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kelantan ekoran peningkatan kes baharu pandemik Covid-19 di negeri tersebut ketika tinjauan pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Pasar Siti Khadijah yang kebiasaannya menjadi destinasi tumpuan ramai untuk membeli-belah di sini menjadi lengang dan sunyi susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kali kedua di Kelantan dalam tempoh tidak sampai tiga bulan, mengundang resah dalam kalangan peniaganya.

Hasil jualan peniaga merosot menyebabkan kebanyakan mereka mengambil keputusan menutup sementara gerai bagi mengelak menanggung lebih banyak kerugian.

Menurut peniaga pakaian, Wan Rohaya Wan Ahmad, 54, hampir separuh daripada 800 peniaga pakaian di tingkat dua pasar berkenaan telah menutup sementara gerai jualan mereka sehingga tempoh PKPB ditamatkan di negeri itu kerana enggan menanggung risiko kerugian jika terus beroperasi.

Wan Rohaya, yang masih lagi berniaga di pasar berkenaan berkata, dia juga akan menutup gerainya jika hasil jualan tidak memberangsangkan.

“Ia seakan sia-sia jika kami membuka kedai dari pagi hingga petang tanpa mendapat hasil jualan memandangkan pada kebiasaannya, pasar ini dikunjungi pelanggan dari luar Kelantan tetapi disebabkan rentas negeri tidak dibenarkan, menyebabkan kami sangat terkesan,” katanya ketika ditemui Bernama di sini pada Khamis.

Wan Rohaya menjalankan aktiviti perniagaannya seperti biasa di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu meskipun kehadiran pelanggan berkurangan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kelantan ketika tinjauan pada Khamis. - Foto Bernama
Wan Rohaya menjalankan aktiviti perniagaannya seperti biasa di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu meskipun kehadiran pelanggan berkurangan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kelantan ketika tinjauan pada Khamis. - Foto Bernama

Bagaimanapun, Wan Rohaya berkata, beliau memahami dan akur dengan pelaksanaan PKPB demi kesejahteraan dan keselamatan semua pihak bagi menangani kes Covid-19 yang semakin meningkat.

Peniaga produk makanan kering, Nurul Falhanis Ibrahim, 26, berkata, agak sukar untuk beliau mendapat anggaran 10 pelanggan sehari.

Artikel Berkaitan:

"Jika sebelum ini saya mampu memperoleh hasil jualan sehingga RM500 sehari tetapi kini untuk dapat RM100 pun sudah cukup memeritkan,” katanya, yang juga mengakui keperluan pelaksanaan PKPB bagi mengekang penularan wabak berkenaan.

Isnin lepas, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah untuk tempoh 14 hari bermula 13 hingga 26 Januari.

Enam lagi negeri - Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan dilaksanakan PKPB manakala Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi Perlis serta Sarawak, untuk tempoh sama.

Sebelum ini, PKPB dilaksanakan buat kali pertama di Kelantan pada 21 November hingga 6 Disember tahun lepas. - Bernama