PKP 2.0: Industri pelancongan dijangka terus merudum

Industri pelancongan di Kedah dijangka mengalami penyusutan pendapatan sebanyak hampir 70 peratus berbanding sebelum PKP dilaksanakan. - Foto 123RF, gambar kecil: Nor Azlan Fitri
Industri pelancongan di Kedah dijangka mengalami penyusutan pendapatan sebanyak hampir 70 peratus berbanding sebelum PKP dilaksanakan. - Foto 123RF, gambar kecil: Nor Azlan Fitri
A
A
A

SHAH ALAM - Industri pelancongan negara dijangka terus berada dalam keadaan suram berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terutama membabitkan halangan merentas negeri dan daerah.

Pengurus Kedah Tourism, Nor Azlan Fitri Abd Razak berkata, pihaknya menjangkakan industri pelancongan di Kedah akan mengalami penyusutan pendapatan sebanyak hampir 70 peratus berbanding sebelum PKP dilaksanakan.

“Penurunan jumlah pelancong ke negeri ini dijangka berlaku berikutan pelaksanaan PKP Bersasar (PKPB) di Kedah.

“Ramai pelancong dari luar negeri terutama Lembah Klang terpaksa membatalkan tempahan hotel dan pakej percutian yang telah mereka tempah berikutan larangan untuk merentas negeri yang telah diumumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Pembatalan kursus, seminar, mesyuarat dan majlis keraian oleh jabatan kerajaan juga memberi kesan kepada pemilik hotel di Kedah," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, tindakan mengehadkan perjalanan feri dari Jeti Kuala Kedah ke Langkawi kepada satu trip sehari dan penghentian operasi perkhidmatan feri di Jeti Kuala Perlis sepanjang PKPB turut memberi kesan kepada jumlah pengunjung ke Kedah.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pertubuhan Gemilang Agensi Pelancongan dan Pengusaha Bas Malaysia (Gapp Bas Malaysia), Wan Shairi Wan Ahmad berkata, pengenalan semula PKP melumpuhkan terus kebanyakan operasi agensi perkhidmatan pelancongan.

Artikel Berkaitan:

Wan Shairi Wan Ahmad
Wan Shairi Wan Ahmad

Menurutnya, masalah yang dihadapi agensi pelancongan khususnya di Selangor telah bermula sejak dari pengenalan PKPB di negeri itu pada pertengahan Oktober lalu.

“Apabila negeri lain diberi kelonggaran dengan PKP Pemulihan, tetapi Selangor masih PKPB, secara langsung kita memang sudah hilang pelanggan. Jadi, kalau sudah kena PKP, memang sepenuhnya ‘blackout’ sebab tidak ada apa-apa pergerakan langsung.

“Antara rakan saya lain yang mengusahakan agensi pelancongan di seluruh negara, saya boleh kata sebanyak 99 peratus sudah tutup kedai. Sebabnya kami dah tak boleh nak buat promosi lagi.

“Kalau tanya agensi pelancongan, mereka akan kata lebih baik tutup daripada terpaksa nak menanggung kos operasi,” katanya.