Melaka benarkan solat Jumaat 45 jemaah

Abdul Halim Tawil
Abdul Halim Tawil
A
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri Melaka membenarkan solat Jumaat di negeri ini dilaksanakan dengan kehadiran 45 jemaah dalam satu masa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, solat Jumaat pada Jumaat ini boleh diteruskan di semua surau yang diberikan kebenaran sementara serta masjid sehingga satu pengumuman diberikan kelak.

Bagaimanapun, katanya, kehadiran jemaah ke masjid dan surau perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan yang dibenarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Bagaimanapun, pelaksanaan ceramah umum, kelas pengajian agama dan kelas al- Quran ditangguhkan sepanjang PKP ini.

"Jabatan Mufti akan memberikan maklumat lanjut kepada masyarakat dari semasa ke semasa berdasarkan maklumat dan nasihat daripada KKM," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Halim berkata, perincian lengkap berhubung sebarang aktiviti program dan kelas pengajian di masjid dan surau merujuk kepada arahan dikeluarkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Menurutnya, pelaksanaan solat fardu berjemaah pula masih kekal dengan membenarkan hanya lima jemaah sahaja dalam satu-satu masa.

Katanya, pihaknya juga memberi kelonggaran dan kebenaran kepada orang ramai untuk singgah di surau dan masjid di negeri ini bagi melaksanakan solat fardu pada satu masa, namun beliau menggalakkan solat fardu dilakukan di rumah sahaja.

Artikel Berkaitan:

"Kita harap jemaah yang melaksanakan solat fardu pada waktu utama atau yang singgah sebentar di mana-mana surau dan masjid perlu mematuhi SOP ditetapkan.

"Setiap pengumuman akan disalurkan kepada seluruh Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) di negeri ini untuk disampaikan kepada masyarakat di negeri ini," katanya.