Projek kereta kabel Bukit Bendera diteruskan

Lay Leng (dua dari kanan) memberi penerangan berhubung RFP kereta kabel Bukit Bendera kepada Kon Yeow di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Georgetown pada Isnin.
Lay Leng (dua dari kanan) memberi penerangan berhubung RFP kereta kabel Bukit Bendera kepada Kon Yeow di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Georgetown pada Isnin.
A
A
A

GEORGETOWN - Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) akan tetap meneruskan projek kereta kabel bernilai RM150 juta di pusat peranginan itu menerusi kerjasama dengan pihak swasta.

Sehubungan itu, kerajaan negeri Pulau Pinang menerusi PBBPP telah membuka Permintaan Untuk Cadangan (RFP) kepada syarikat berdaftar yang layak dan mempunyai kepakaran untuk mengambil bahagian bermula Rabu ini.

Pengurus Besar PBBP, Datuk Cheok Lay Leng berkata, proses RFP itu akan dibuka bermula 13 Januari hingga 24 Mei ini.

Menurutnya, kerajaan negeri menerusi PBBPP akan tetap meneruskan projek tersebut melalui konsep kerjasama dengan pihak swasta walaupun peruntukan RM100 juta daripada kerajaan Pusat telah dibatalkan.

"Kita akan teruskan kerana kerajaan negeri merasakan selain kereta api furnikular sedia ada, kereta kabel ini mampu menjadi mod pengangkutan tambahan terutama pada waktu puncak. Kita menjangkakan kos sebenar projek ini ialah RM150 juta.

"Bagaimanapun, kos tersebut hanya jangkaan sahaja kerana bergantung kepada metodologi pembinaan, jajaran serta lokasi stesen bawah kereta kabel. Selain itu, ia juga melibatkan pembinaan stesen tengah iaitu mengikut jajaran, dan fasiliti tambahan seperti tempat meletak kereta," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini pada Isnin.

Hadir sama, Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Pengerusi PBBPP, Chow Kon Yeow.

Lay Leng berkata, projek kereta kabel Bukit Bendera itu dijangka mengambil masa tiga hingga empat tahun untuk disiapkan serta beroperasi sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

"Projek ini bukan sebuah projek persendirian, sebaliknya ia memerlukan banyak pertimbangan serta perbincangan yang perlu dilakukan secara kolektif. Kajian prakebolehlaksanaan projek kereta kabel dan penilaian menyeluruh telah dijalankan.

"Ia termasuk impak alam semula jadi, model kewangan, potensi dan pemilihan penyelarasan. Berdasarkan kajian itu juga, beberapa laluan pilihan untuk pelaksanaan projek kereta kabel telah dikena lpasti iaitu Tamn Botani, Taman Belia dan Teluk Bahang," katanya.

Tambah beliau, projek itu juga akan melalui perancangan dan pembangunan yang teliti bagi memastikan permohonan PBBPP mengiktiraf Bukit Bendera sebagai rizab biosfera UNESCO di bawah program 'Man and The Biosphere' tidak terjejas.