PM perlu menghadap Agong: MP Pasir Gudang

MUHYIDDIN
MUHYIDDIN
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh disifatkan sebagai sudah tumbang kerana hilang majoriti sokongan daripada 222 ahli Parlimen.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, Muhyiddin hanya memiliki 110 sokongan ahli Parlimen selepas Ahli Parlimen Machang, Ahmad Jazlan Yaakub tidak lagi menyokongnya.

"Berdasarkan Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan, Ahli Dewan Rakyat ada 222 orang. Dua ahli Parlimen telah meninggal dunia iaitu Ahli Parlimen Batu Sapi di Sabah dan Ahli Parlimen Gerik di Perak.

"Ini menjadikan jumlah ahli Dewan Rakyat bagi penggal Parlimen ke-14 tinggal 220 orang. Jumlah sokongan 110 sahaja yang dimiliki oleh Ahli Parlimen Pagoh itu sekarang, menjadikan Perdana Menteri dan kerajaan PN pimpinannya tidak ada majoriti," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Ahmad Jazlan dari Barisan Nasional (BN) mengumumkan menarik sokongan terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri berkuatkuasa pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN Ahmad Jazlan tarik sokongan kepada kerajaan PN

Selain itu, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mendakwa lebih ramai ahli Parlimen UMNO dijangka mengikut jejak langkah Ahmad Jazlan dan menarik sokongan terhadap kerajaan.

Hassan berkata, Yang di-Pertuan Agong sebelum ini melantik Muhyiddin pada 1 Mac 2020 sebagai Perdana Menteri berdasarkan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan iaitu pada hemat Seri Paduka Baginda, Ahli Parlimen Pagoh itu mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

"Kini Ahli Parlimen Machang telah menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin dan juga Kerajaan PN. Dalam keadaan ini, elok kita merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan sekali lagi. Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan seperti berikut:

Artikel Berkaitan:

"Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Hassan berkata, sepanjang tempoh 10 bulan Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, beliau mengelak dan menafikan pembentangan usul tidak percaya terhadapnya sebagai Perdana Menteri di Parlimen malah usul percaya terhadap beliau sebagai Perdana Menteri yang dibawa oleh ahli Parlimen kerajaan juga tidak diberi peluang dibentangkan.

"Peruntukan Perlembagaan Persekutuan ini adalah jelas. Maka saya selaku salah seorang ahli Dewan Rakyat menyeru Perdana Menteri supaya mematuhi Perlembagaan Persekutuan iaitu dengan segera mendapatkan perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong dengan seberapa segera.

"Ahli Parlimen Pagoh itu semasa mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri telah berikrar akan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. Inilah masanya untuk membuktikan ikrar dan sumpah jawatan tersebut," katanya.