34 terkandas hampir seminggu selepas hadiri kenduri kahwin

Saifuddin bertanya khabar kepada salah seorang mangsa banjir Norzainah Musfata, 55, di Kampung Chendering, Kuantan pada Sabtu. - Foto Bernama
Saifuddin bertanya khabar kepada salah seorang mangsa banjir Norzainah Musfata, 55, di Kampung Chendering, Kuantan pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Pengalaman menghadiri majlis perkahwinan saudara menjadi kenangan tidak dilupakan oleh satu rombongan dari Beserah dekat sini apabila mereka terkandas seminggu di Kampung Pagi, Hulu Tembeling di Jerantut, kira-kira 213 kilometer dari sini, selepas paras air Sungai Tembeling naik mendadak sehingga menenggelami semua laluan ke kawasan itu.

Mat Napi Ali, 59, berkata, mereka yang seramai 34 orang, bertolak ke kampung itu pada pagi Jumaat lalu dengan berkonvoi menaiki lima kenderaan dan merancang pulang pada Ahad memandangkan ada antara mereka yang akan bekerja pada Isnin.

"Kami cadang bertolak pulang pada pagi Ahad dan tak mahu berlengah kerana bimbang melihat air sungai sudah mula melimpah memandangkan hujan tidak berhenti sejak kami tiba. Malangnya sebelum sempat kami bertolak, kami dimaklumkan jalan ke situ sudah ditutup kerana paras air sudah tinggi.

"Kami semakin bimbang dan selepas berbincang, kami setuju menangguhkan perjalanan atas aspek keselamatan dan tak mahu kereta rosak. Kami fikir banjir akan surut dalam tempoh sehari dua, malangnya keadaan itu berlarutan," katanya kepada Bernama di sini pada Sabtu.

Mat Napi yang merupakan kakitangan kerajaan berkata, sepanjang terkandas, kesemua mereka menumpang di rumah kakaknya namun disebabkan ahli rombongan yang ramai, mereka terpaksa berjimat menggunakan bahan mentah supaya bekalan makanan tidak putus.

Saifuddin menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Chendering, Kuantan pada Sabtu. - Foto Bernama
Saifuddin menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Chendering, Kuantan pada Sabtu. - Foto Bernama

Selepas hampir seminggu, Mat Napi mengakui mula bimbang kerana ramai antara mereka perlu kembali bekerja kerana cuti sudah menghampiri penghujung.

"Kami dimaklumkan satu-satunya cara untuk balik ialah dengan menaiki bot ke jalan besar. Tapi bagaimana kami nak ke Kuantan tanpa kereta? Selepas berbincang, kami cuba menghubungi sana sini bagi meminta bantuan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mat Napi berkata, mereka akhirnya menerima berita gembira apabila wakil pejabat Ahli Parlimen Indera Mahkota Datuk Saifuddin Abdullah menghubungi mereka bagi memaklumkan beliau sudi menghantar bas ekspres untuk membawa rombongan itu pulang.

Sebaik sahaja semua perancangan dibuat, Mat Napi berkata, mereka bertolak dengan menaiki bot orang kampung sekitar jam 8 pagi pada Jumaat dan tiba di Indera Mahkota pada 10.30 malam kerana perjalanan terhenti di beberapa lokasi di sepanjang laluan alternatif bagi menunggu banjir surut sedikit sebelum boleh diredah.

Walaupun penat menghadapi perjalanan yang panjang, Mat Napi berkata, mereka memberitahu pemandu bas untuk singgah di Pejabat Parlimen Indera Mahkota apabila menerima maklumat bahawa Saifuddin yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berada di situ bagi menyampaikan ucapan terima kasih mereka.

Sementara itu, Saifuddin berkata, pihaknya segera mengaturkan bantuan bagi membawa pulang rombongan tersebut selepas mendapat berita dan mereka juga “berlumba dengan masa” kerana bimbang jika banjir yang semakin memburuk menutup jalan ke Kuantan, termasuk laluan alternatif. - Bernama