Tubuh petugas khas pengesanan kontak segera

LEE BOON CHYE
LEE BOON CHYE
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye hari ini menggesa agar kerajaan menubuhkan satu rangkaian di seluruh negara melibatkan petugas khas pengesanan kontak dengan segera.

Beliau mencadangkan agar anggota petugas khas itu terdiri daripada 10,000 anggota tambahan di Bahagian Kesihatan Awam dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama pemimpin masyarakat tempatan.

“Petugas khas ini boleh dilatih dan dibimbing oleh Pegawai Kesihatan Awam untuk tugas pengesanan kontak untuk memastikan kontak mematuhi perintah kuarantin, perniagaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP), membantu ‘mass testing’ (ujian yang luas) dan sebagainya.

“Mereka boleh diambil daripada kalangan graduan yang menganggur dan mereka yang kehilangan pekerjaan semasa pandemik Covid-19,” katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, media melaporkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membuat pengumuman khas pada Isnin mengenai tindakan yang akan dilaksanakan kerajaan berhubung situasi semasa jangkitan Covid-19 yang menunjukkan trend peningkatan sejak kebelakangan ini.

Boon Chye menambah, pengambilan 10,000 orang daripada kalangan graduan yang menganggur dan kehilangan pekerjaan itu jauh lebih rendah daripada kerugian akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau ‘lockdown’.

“Dengan anggaran kos RM2,500 sebulan untuk setiap petugas, jumlah kos keseluruhan adalah RM300 juta setahun dan jumlah ini jauh lebih rendah daripada kerugian ‘lockdown’.

“Saya merayu kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya mengarahkan pengambilan petugas khas tersebut secara kontrak dengan kadar segera semasa pengumuman khas pada Isnin nanti,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga Jurucakap Kesihatan Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut menegaskan bahawa PKP secara meluas boleh dielakkan.

“Penularan Covid-19 boleh dikawal dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bersasar. Di samping ujian Covid-19 secara luas (mass testing) serta pengesanan, ujian dan pengasingan kontak rapat dalam 48 jam,” katanya.