X

Kindly register in order to view this article
!

Selangor jadi pilihan penyeludup rokok

A
A

SHAH ALAM - Sentiasa mengubah strategi selain licik mengesan pergerakan pihak berkuasa menjadikan sindiket penyeludupan rokok semakin aktif dengan menjadikan Selangor sebagai hub kemasukan barangan itu.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kapten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, sebanyak 10 lokasi di kesan dijadikan lokasi pendaratan bahan terlarang itu yang dibawa menggunakan bot pancung melalui tekong yang diupah oleh sindiket.

"Lokasi yang menjadi pilihan sindiket untuk menyeludup masuk rokok adalah melalui Sungai Bernam, Sungai Besar, Tanjung Karang, Kuala Selangor, Pulau Ketam, Sungai Air Hitam, Sungai Langat, Tanjung Gabang, Tanjung Sepat dan Sungai Sepang," katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Menurutnya, lokasi berkenaan menjadi sasaran kerana rokok-rokok ini diseludup keluar dari negara jiran, selain faktor jalan air lebih selamat kerana jauh daripada kawasan awam.

Katanya, biarpun pihak berkuasa sudah menumpaskan banyak kegiatan penyeludupan rokok yang cuba masuk ke dalam negara, namun kegiatan itu masih dikesan sehingga hari ini.

"Apa yang pasti sindiket sentiasa memantau pergerakan pihak berkuasa untuk melakukan jenayah terbabit tanpa merisikokan ahli sindiket.

"Bagaimanapun tindakan tegas berjaya mematahkan kegiatan sindiket termasuk memberkas dalang yang terlibat," jelasnya.

Beliau berkata, pihaknya telah merekodkan kejayaan rampasan rokok seludup mencecah RM24.01 juta bagi tempoh tiga tahun sejak 2017 hingga 2019.

Katanya, seramai 35 orang berjaya ditahan sepanjang operasi terbabit.

"Mengikut pecahan, pada tahun 2017, seramai enam orang telah ditahan dengan rampasan rokok berjumlah RM231,336.

"Tahun berikutnya pula merekodkan rampasan rokok berjumlah RM16.73 juta dengan tangkapan seramai 23 orang manakala tahun 2019 membabitkan rampasan RM7.05 juta serta enam orang ditahan," katanya.

Bagaimanapun katanya, tiada tangkapan dan rampasan rokok seludup oleh APMM Selangor pada tahun lalu berikutan faktor Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pandemik Covid-19 selain kejayaan rampasan serta tangkapan telah dilakukan oleh penguatkuasa lain seperti Polis Diraja Malaysia melibatkan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Polis Marin (PPM).

Sapu air

Dalam pada itu, Mohammad Rosli berkata, bagi memastikan penyeludupan itu berjaya, sindiket dikesan mengupah individu yang berperanan sebagai ‘sapu air’.

"Nama lain adalah tonto di mana mereka ini berperanan memastikan kehadiran pihak penguatkuasa.

"Aktiviti penyeludupan rokok ini merupakan salah satu elemen yang tergolong dalam kegiatan jenayah terancang yang turut melibatkan elemen lain seperti agen, pembawa bot, pemunggah dan kenderaan laut atau pun darat.

"Jadi, sindiket penyeludupan rokok yang didalangi warga tempatan ini akan mengupah 'sapu air' dengan bayaran RM300 hingga RM500. Mereka ini akan memantau di kawasan yang ditetapkan sebelum rokok dibawa masuk dan akan melaporkan kehadiran pihak berkuasa kepada penyeludup rokok terbabit.

"Berdasarkan maklumat dan risikan yang kita peroleh, sapu air ini menyamar sebagai pemancing atau nelayan," katanya.

MOHAMMAD ROSLI
MOHAMMAD ROSLI

Selain itu, katanya, ada juga tonto darat yang akan memantau proses pemunggahan rokok.

Beliau berkata, pihaknya juga ada menerima laporan terdapat 'sapu air' ini akan menghalau nelayan lain dan merampas telefon bimbit mereka bagi memastikan mereka tidak melaporkan kegiatan haram itu kepada pihak berkuasa.

Mohammad Rosli berkata, pihaknya percaya tonto ini direkrut daripada kalangan individu yang menghadapi masalah kewangan dan mahukan wang dengan mudah.

Menjelaskan tentang jenis bot yang sering digunakan dalam aktiviti penyeludupan rokok, beliau memaklumkan, bot pancung dan bot ‘barter trade’ merupakan bot yang digunakan yang mana ia mempunyai peranan masing-masing.

Bot pancung merupakan bot laju yang terus memasuki ke perairan negara, manakala bot ‘barter trade’ akan berhenti di pertengahan perairan sempadan Malaysia-Indonesia sebelum memindahkan rokok seludup kepada bot tempatan lain.

"Bot pancung ini kebiasaannya menggunakan dua hingga lima enjin dengan kelajuan yang tinggi. Bot ini boleh memuatkan 150 sehingga 300 guni rokok dan mengambil masa kurang dari dua jam untuk sampai ke perairan kita dari negara jiran.

"Kebiasaannya bot ini membawa rokok jenis kretek akan terus masuk ke kawasan yang telah ditentukan penghantarannya," katanya.

Mohammad Rosli menunjukkan antara rokok seludup yang dirampas APMM Selangor.
Mohammad Rosli menunjukkan antara rokok seludup yang dirampas APMM Selangor.

Bagi bot 'barter trade' pula, bot yang dikenali sebagai bot tukaran barang ini mempunyai saiz besar dan boleh memuatkan sehingga 3,000 guni rokok.

Sementara itu, Mohammad Rosli turut menjelaskan, sindiket terbabit juga bergerak pada waktu malam hingga awal pagi.

“Ini kerana waktu ini adalah masa paling sesuai untuk mereka beroperasi berikutan keadaan yang gelap selain memberi kelebihan kepada mereka untuk menyukarkan operasi dikesan.

“Sindiket akan menggunakan tekong yang berpengalaman dan mahir dalam memastikan penghantaran selamat sampai ke destinasi yang ditetapkan,” katanya.

Kemudian, rokok yang berjaya dibawa naik ke darat akan dibawa menaiki kenderaan mewah seperti Toyota Vellfire dan Estima bagi mengelirukan pihak berkuasa apatah lagi dengan menggunakan cermin gelap.

"Tidak dinafikan juga ada sindiket yang menggunakan lori kecil bersaiz satu dan dua tan.

Jelasnya, kenderaan mewah ini akan dikosongkan untuk diisi dengan rokok-rokok kretek mahu pun rokok putih yang berjaya dibawa masuk.

Harga

Mohammad Rosli berkata, faktor harga yang murah selain permintaan tinggi menjadi perkara utama yang menggalakkan kegiatan haram terbabit.

"Rokok seludup ini murah dan sindiket tidak perlu membayar cukai.

“Jadi bila ia murah pasaran dalam negara akan mempunyai permintaan tinggi sekali gus sindiket ini terus berusaha untuk teruskan kegiatan ini dalam apa jua cara,” katanya.

Tegasnya lagi, tindakan tegas akan diambil di bawah Akta Kastam 1967.

Dalam pada itu, Mohammad Rosli tidak menafikan kemungkinan wujudnya pembabitan penguat kuasa yang bersekongkol dengan sindiket.

"Kemungkinan tetap ada tapi peratusannya adalah rendah.

"Mungkin disebabkan penguat kuasa terbabit lebih mengetahui selok-belok dan pergerakan aset pasukan rondaan.

"Bagaimanapun, ia bukanlah penghalang bagi kita untuk terus membanteras dan mengekang kemasukan rokok seludup," katanya.

Kejayaan APMM Selangor dalam usaha menumpaskan kegiatan penyeludupan rokok.
Kejayaan APMM Selangor dalam usaha menumpaskan kegiatan penyeludupan rokok.

Tegasnya, malah ia akan dijadikan sebagai satu cabaran untuk kita terus gigih dan komited dalam menjalankan tugas.

Amaran APMM tangani penyeludupan

"Aktiviti penyeludupan ini perlu ditangani dengan baik dan konsisten kerana ia menyebabkan pendapatan hasil negara yang banyak dari segi duti kastam hilang yang mana hasil negara itu boleh digunakan untuk pembangunan negara.

"Saya percaya dalam usaha sindiket untuk menyeludup masuk rokok ini, mereka akan sentiasa mengubah modus operandi bagi menyukarkan kegiatan itu dikesan pihak berkuasa.

"Saya tegaskan bahawa kita akan kesan dan tangani kegiatan ini. Bukan sahaja penyeludupan rokok, tapi kes lain seperti penyeludupan migran, makanan atau barangan lain," katanya.

Menurutnya, APMM akan terus dan kerapkan rondaan laut dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan PDRM.

"Tumpuan khusus juga dibuat di lokasi-lokasi hotspot," katanya.

Justeru, pihaknya juga menyeru masyarakat untuk menyalurkan maklumat berkenaan sebarang kegiatan jenayah maritim dalam usaha memastikan keselamatan negara terus terjamin.

Sebuah bot yang dirampas selepas dikesan membawa rokok seludup di perairan Selangor baru-baru ini.
Sebuah bot yang dirampas selepas dikesan membawa rokok seludup di perairan Selangor baru-baru ini.

........................................................

Kronologi berkenaan kes rokok seludup

19 Oktober 2019

PELABUHAN KLANG - Cubaan untuk memindahkan rokok seludup bernilai hampir RM7 juta di tengah laut tidak menjadi selepas kegiatan itu berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam operasi di jarak 3.2 batu nautika dari Tanjung Gabang di sini.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, operasi kira-kira jam 11.35 pagi berjaya mengesan sebuah bot barter trade dalam keadaan mencurigakan.

28 Oktober 2018

PELABUHAN KLANG - Penyeludup berputih mata setelah ditumpaskan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor dalam cubaan menyeludup masuk rokok bernilai RM115,600 dari negara jiran di Tanjung Layang, Banting, Selangor kira-kira jam 8.30 malam.

Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, semasa melakukan rondaan rutin di perairan selangor, Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor telah menerima maklumat awam berkenaan sebuah bot yang mencurigakan sedang menuju ke Tanjung Layang dan bot ronda APMM telah diarahkan bergerak menuju ke lokasi tersebut.

14 Julai 2017

PELABUHAN KLANG - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor mematahkan cubaan menyeludup 4,050 karton rokok putih bernilai RM231,336 ke negara ini dengan penahanan sebuah bot pancung dan sebuah lori di pesisir Pantai Sungai Tengkorak di Tanjong Karang di sini.

Pengarah Maritim Daerah Maritim 4, Kepten Maritim Abu Zaki Mohammad berkata bot pancung berkenaan dikesan berada dalam keadaan mencurigakan di kedudukan 5.9 batu nautika dari pesisir pantai berkenaan, pada jam 8.34 malam oleh sebuah bot APMM yang sedang melakukan rondaan Ops Satria Selatan, hasil maklumat orang awam.

15 April 2016

PELABUHAN KLANG - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok keretek bernilai RM300,000 di perairan Kuala Sungai Langat, Kuala Langat.

Dalam rampasan kira-kira jam 5.30 pagi itu, kira-kira 2,300 karton rokok seludup berjaya dirampas bersama bot pancung yang digunakan penyeludup berkenaan.

13 Februari 2015

PELABUHAN KLANG - Kegiatan satu sindiket penyeludupan rokok pelbagai jenama dari negara jiran berjaya dipatahkan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas mereka menahan sebuah bot pancung membawa muatan 1,780 karton rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM142,000 di perairan Pantai Acheh, Pantai Indah, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, APMM mengesan sebuah bot pancung dengan empat enjin 200 kuasa kuda dari Indonesia berada dalam keadaan mencurigakan dan dipandu laju.

..............................................

RAMPASAN ROKOK SELUDUP DI SELANGOR

2017 RM231,336

2018 RM16.73 juta

2019 RM7.05 juta

JUMLAH RM24.01 juta


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!