Annuar sedia jadi pilihan terakhir

Annuar semasa berucap pada Ceramah Mega Gelombang Kebangkitan Rakyat di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Ahad.
Annuar semasa berucap pada Ceramah Mega Gelombang Kebangkitan Rakyat di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa sedia menjadi pilihan terakhir sekiranya Pas mahu memberi peluang kepadanya untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Annuar berkata, beliau menyertai Pas bukan untuk menjadi calon semata-mata sebaliknya ikhlas berjuang demi kepentingan agama dan bangsa Melayu.

"Saya tidak bertanding pun tidak mengapa, asalkan UMNO tak menang. Jika diberikan mandat untuk bertanding, saya perlu berbincang dengan pucuk pimpinan parti, bagi mengetahui untuk tujuan apa saya diamanahkan berbuat demikian.

"Kalau tidak, boleh sahaja bagi peluang kepada anak muda atau calon dalam kalangan ahli Pas yang sudah lama dengan parti ini, lagipun saya masih baru," katanya semasa berucap pada Ceramah Mega Gelombang Kebangkitan Rakyat di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV di sini, pada Ahad.

Sebelum itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, semua ahli Pas boleh menjadi calon wakil rakyat termasuklah Annuar pada PRN akan datang selepas menyertai parti itu.

Bagaimanapun Takiyuddin berkata, pihaknya masih belum membuat keputusan berhubung perkara tersebut.

Sementara itu, Annuar berkata, beliau sebelum ini pernah mencuba tidak berada dalam mana-mana parti namun gagal berbuat demikian.

Ujarnya, walaupun pernah menjadi orang besar ketika berada dalam UMNO, namun beliau reda jadi orang kecil kerana perjuangan Pas lebih istiqamah.

Annuar turut mengucapkan terima kasih kepada Pas kerana menerima beliau sebagai ahli biasa dan membenarkannya berkhidmat kepada parti itu pada akhir hayat kehidupannya pada usia 67 tahun.

Pada Sabtu, bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu secara rasminya telah menjadi ahli Pas.

Annuar merupakan antara 3,000 keahlian baharu Pas yang diterima parti itu di beberapa negeri.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Semua ahli Pas boleh jadi calon termasuk Annuar' - Takiyuddin

Annuar Musa rasmi jadi ahli Pas