Malaysia tidak selamat jika sokong tindakan Israel - Tun M

Dr Mahathir hadir pada Himpunan 100K Bela Palestin di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat pada Sabtu.
Dr Mahathir hadir pada Himpunan 100K Bela Palestin di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia tidak boleh menerima tindakan sesuatu bangsa merampas negara milik bangsa lain seperti dilakukan Israel terhadap Palestin.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, jika tindakan tersebut di sokong maka Malaysia juga bakal berada dalam situasi tidak selamat.

Menurutnya, Malaysia akan terus mempertahankan penduduk Gaza dan Tebing Barat supaya akhirnya Palestin akan mencapai kemenangan

"Saya dapat berjumpa dengan pemimpin Hamas dan mereka tegaskan tidak akan berundur daripada Gaza.

"Terdapat sekitar dua juta penduduk di Gaza dan sekarang hampir 40,000 telah meninggal dunia sepanjang tujuh bulan serangan Israel," katanya semasa Himpunan 100K Bela Palestin di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat pada Sabtu.

Antara peserta yang hadir pada Himpunan 100K Bela Palestin di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat pada Sabtu.
Antara peserta yang hadir pada Himpunan 100K Bela Palestin di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat pada Sabtu.

Program bermula jam 2 petang dengan perarakan peserta yang berkumpul di tiga lokasi di Bangunan Yayasan Selangor, Bukit Bintang, Masjid KLCC dan Masjid Ibnu Mas’ud, Kampung Datuk Keramat sebelum berarak menuju ke Kedutaan Amerika Syarikat dekat sini.

Program tersebut dianjurkan Lajnah Antarabangsa Pusat dengan Aid4Palestin, turut dihadiri pemimpin Pas terdiri daripada Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Naib Presiden, Datuk Idris Ahmad; Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Dr Mahathir berkata, walaupun serangan dan pembunuhan berterusan terus dilancarkan oleh Israel, namun tindakan itu tidak akan melenyapkan rakyat Palestin dari bumi Gaza.

Malah katanya, peperangan tersebut juga kini telah menyebabkan dendam peribadi antara rakyat Gaza terhadap Zionis.

"Ini kerana setiap seorang rakyat Gaza mempunyai mempunyai anak, ibu bapa dan isteri kesayangan yang dibunuh.

"Orang Palestin akan balas dendam walaupun ia mengambil masa ratusan tahun. Inilah sifat yang ada pada rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat," katanya.

Beliau turut menyeru himpunan sama diteruskan sebagai tanda solidariti bukan hanya daripada rakyat Malaysia tetapi seluruh dunia bagi mengecam tindakan Zionis.

"Sokongan yang ditunjukkan kita dan seluruh dunia akan menentukan Israel terus dikecam dan dihina umat manusia.

"Disebabkan itu kita berkumpul untuk menyatakan pendirian kita dan harap himpunan sama akan masuk ke dalam universiti dan di seluruh dunia," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!