'Saya nampak juruterbang dalam keadaan tergantung, terbalik' - Saksi

Laporan Sinar Harian. Abdullah (kanan).
Laporan Sinar Harian. Abdullah (kanan).
A
A
A

TANJUNG MALIM - "Saya nampak juruterbang dalam keadaan tergantung dan terbalik, kakinya juga tersepit di kerusi, saya bantu dengan memeluknya sehinggalah pihak bomba sampai,"

Demikian kata Abdullah Abdul Talib, 36, saksi utama yang menemui bangkai pesawat ringan terhempas di sebuah ladang dalam kawasan Hutan Simpan Gunung Besout, Sungkai dekat sini pada Sabtu.

Penyelia ladang itu berkata, semasa kejadian dia dalam perjalanan pulang selepas menyelesaikan kerja-kerja ladang, namun tidak dapat meneruskan perjalanan kerana laluan terhalang batang pokok balak yang tumbang.

Pelik dengan kejadian itu, dia membuat pemeriksaan sehinggalah menemui banyak serpihan-serpihan dengan warna putih dan biru bertebaran di sekitar kawasan ladang.

"Tangan saya menggeletar bila nampak ada sebuah bangkai pesawat terbalik dan tersangkut di celah pokok.

"Apabila didekati, keluar seorang wanita dari dalam pesawat, dia berdiri berteriak meminta tolong dan memberitahu dua mangsa terlibat dalam kejadian itu," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Abdullah ketika menunjukkan lokasi nahas pesawat ringan terhempas.
Abdullah ketika menunjukkan lokasi nahas pesawat ringan terhempas.

Abdullah yang telah sembilan tahun bekerja di ladang itu mengakui, panik berdepan situasi berkenaan, namun cuba membantu sedaya upayanya termasuk menghubungi polis dan ambulans.

Artikel Berkaitan:

Dia turut meminta bantuan kira-kira 10 rakan sekerja ladangnya untuk membantu anggota bomba dalam kerja-kerja mengeluarkan mangsa.

"Saya bersyukur dapat bantu selamatkan mereka. Ini kali pertama saya berdepan kejadian seperti ini," katanya dengan kesan darah masih ada di pakaiannya.

Abdullah memberitahu, sebelum kejadian, tiada satupun bunyi dentuman mahupun letupan pesawat dapat didengar.

Hanya keadaan lokasi nahas ketika kejadian dilitupi kabus menjadikan pemandangan di persekitaran hutan agak kabur dan sedikit menyukarkan.

"Cuaca berkabus, ditambah pula kawasan ladang ini yang sangat luas, bunyi pesawat lalu pun saya tak dengar, inikan pula terhempas," katanya.

Dalam nahas pesawat CESSNA 172 Skyhawk dengan pendaftaran 9M-ADA sekitar jam 9.30 pagi itu, kedua-dua mangsa iaitu seorang lelaki dan wanita disahkan selamat.

Juruterbang, Kapten Shahrul Imran Surea, 26, mengalami patah kaki kanan manakala pelatih Le Ho Jia, 20, mengalami bengkak muka.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!