X

Kindly register in order to view this article
!

Daftar melalui MySejahtera untuk pengambilan vaksin secara sukarela

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika sidang media mengenai Perkembangan Perolehan Vaksin Covid-19 Negara di bangunan Parlimen hari ini. Turut kelihatan, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Ahmad Amzad Hashim (kiri). - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan menambahkan ciri pendaftaran vaksinasi pada aplikasi pengesanan kontak MySejahtera setelah Pelan Vaksinasi Kebangsaan diluluskan kelak.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pengambilan vaksin Covid-19 adalah secara sukarela dan orang ramai perlu mendaftar sebagai tanda setuju mendapatkan vaksin tersebut.

"Kita akan mulakan dengan penilaian risiko, dimulai dengan kumpulan yang berisiko tinggi setelah Kabinet meluluskan Pelan Vaksinasi Kebangsaan.

"Seperti mana yang dimaklumkan, ia akan dimulakan dengan petugas barisan hadapan, pesakit komorbiditi (dua atau lebih penyakit yang dihadapi secara serentak) dan kemudian warga emas serta sebagainya.

"Setelah itu, kita perlu ada sistem dan siapa yang mahu dapatkan vaksin adalah secara sukarela di mana mereka perlu mendaftar. Pendaftaran vaksinasi akan dimasukkan aplikasi pengesanan kontak MySejahtera untuk memudahkan untuk orang ramai," katanya pada sidang akhbar di Parlimen pada Selasa.

Menurutnya, Pelan Vaksinasi Kebangsaan yang dimuktamadkan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 pada Khamis depan akan dibentang kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum diluluskan di peringkat Kabinet.

Katanya, pendaftaran bagi vaksin Covid-19 dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) disasarkan sebelum hujung bulan depan.

"Kita juga telah kenal pasti 55 tempat untuk dijadikan tempat penyimpanan vaksin Covid-19 yang memerlukan suhu sejuk (ultra low freezer)," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menafikan kos vaksin Covid-19 untuk Malaysia lebih tinggi daripada yang dibayar oleh Belgium seperti yang didakwa oleh pihak tertentu.

"Saya tidak dapat menyatakan harga yang tepat (tetapi) menurut maklumat (bocor), jika ia benar, Belgium meletakkan harga RM1.38 bilion yang apabila dibahagikan kepada 16.75 juta (penduduk) harga purata setiap orang untuk Belgium adalah RM82.40.

"Kita pula melibatkan kos RM2.05 bilion dibahagi dengan 26.5 juta iaitu 83 peratus daripada jumlah penduduk dan jumlahnya RM77. 35," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!